Setelah mendapat kritikan daripada para penyokong bola sepak kebangsaan menerusi kekalahan sulung aksi persahabatan menentang Timor Leste lalu, skuad bawah 23 (B-23) kembali berada di kemuncak prestasi apabila meraih kemenangan semalam setelah menewaskan skuad B-23 Filipina dengan keputusan 2-0 di Stadium UiTM, Shah Alam.
Jelas Brad Maloney selaku pengendali utama skuad tersebut, beliau melihat kemenangan ini sebagai suatu perkembangan yang positif dalam kalangan pemain selepas mengharungi dua perlawanan.
Beliau juga melihat para pemain masing-masing menunjukkan kualiti permainan yang bagus untuk Maloney semakin menaruh harapan tinggi buat pasukan kendaliannya akan datang.
“Tujuan perlawanan persahabatan ini (diadakan) untuk memastikan semua pemain berada bersama-sama selain (untuk) melihat kombinasi dalam kalangan mereka.
“Jadi menang atau kalah, perkara itu adalah perkara kedua perlu difikirkan.
“Apa yang penting prestasi ditunjukkan pemain dan saya melihat ada penambahbaikan dilakukan. Jadi ia satu petanda baik serta keputusan yang amat menggalakkan,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan itu menerusi Arena Metro.
Pada perlawanan yang berlangsung semalam tanpa kehadiran penyokong, jelas skuad kebangsaan dilihat berjaya mengimbangi perlawanan dengan baik berbanding aksi lalu setelah kehadiran beberapa lagi pemain seperti Aiman Afif dari Kedah serta kelibat penjaga gol Kuala Lumpur City iaitu Muhammad Azri Ab Ghani.
Perlawanan Antarabangsa Tier 2 | 1 Mei 2022
Keputusan Masa Penuh
MALAYSIA B-23 2-0 FILIPINA B-23
⚽️ Nik Akif Syahiran Nik Mat 53’ Faiz Amer Runnizar 65’#FAM #HarimauMalaya #Vietnam2021 pic.twitter.com/Kmc7d74udH
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) May 1, 2022
Gol pertama skuad negara terhasil pada separuh masa kedua menerusi sepakan percuma yang diledak oleh Nik Akif Syahiran Nik Mat pada minit ke-53 untuk memberi motivasi terbaik buat pasukan.
Kegembiraan skuad kebangsaan terus bersambung apabila giliran Muhammad Faiz Runnizar pula meledak gol kedua pasukan pada minit ke-65.
Dalam masa sama, Maloney turut menjelaskan mengenai para pemain semakin banyak melapor diri daripada 31 nama yang dipanggil untuk memberi komitmen buat negara setelah selesai menjalani tugas bersama kelab masing-masing dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).
Secara tidak langsung, situasi ini memberi kelegaan buat barisan kejurulatihan terutama sekali Maloney untuk merencana strategi ampuh dengan lebih awal sebelum mereka menghadapi Sukan Sea.
Skuad muda negara bakal berlepas ke Vietnam pada Rabu ini bagi merebut kejuaraan Sukan Sea dan ini menjadi salah satu misi penting buat Maloney bagi memberi gambaran positif mengenai pasukannya.
Ikuti kami di TikTok!
Semuanya BOLA akhirnya telah tiba di TikTok! Ikuti akaun TikTok kami untuk dapatkan info ringkas dan santai mengenai bola sepak dalam bentuk video pendek sekarang.
Jom buat ramai di sana dengan ikuti di tiktok.com/@mysemuanyabola sekarang!