Bintang Belanda, Memphis Depay berkata beliau tidak merasakan dirinya sebagai seorang pemain yang dihormati di Lyon setelah beliau tampil sebagai pemain gantian untuk membantu pasukannya menang ke atas Angers dalam saingan Ligue 1 pada hujung minggu lalu.
Lyon pada mulanya menemui kesukaran untuk menembusi benteng Angers yang beraksi dengan 10 pemain. Depay kemudiannya dibawa masuk untuk menggantikan Jordan Ferri selepas 1o minit babak kedua bermula pada kedudukan 0-0.
Lapan minit selepas dimasukkan, Depay menghasilkan satu bantuan gol untuk disudahka olehn Hossem Aouar untuk gol pembukaan Lyon, sebelum beliau sendiri mencetak nama sebagai penjaring tiga minit sebelum perlawanan berakhir.
Lyon akhirnya mencatatkan kemenangan 2-1 untuk tiga mata berharga dalam perlawanan tersebut.
Sejak meninggalkan Old Trafford, Depay kini telah menjaringkan 27 gol, dan merekodkan 17 bantuan gol melalui 63 penampilan untuk Lyon di Ligue 1. Namun pemain itu hanya beraksi sebagai pemain kesebelasan utama di dalam 48 perlawanan.
Dan pemain itu jelas tidak gembira akan perkara tersebut, dan secara terbuka meluahkan apa yang beliau pendam selama ini.
“Saya bosan apabila setiap kali ramai yang akan berkata saya berjaya mengubah perlawanan. Saya tidak merasakan saya dihormati sebagaimana sepatutnya di sini.
“Setiap kali saya melakukan tugas yang diarahkan. Secara mental, saya sangat kuat. Tetapi saya harus akur kepada arahan jurulatih. Saya sedikit kecewa.
“Saya Sudah Bosan Dan Mahu Dihormati Di Lyon.”
“Saya berpendapat saya harus lebih dihormati. Saya selayaknya lebih dihormati dengan berada di dalam kesebelasan utama pasukan pada setiap perlawanan,” ujar Depay panjang lebar.
Perasaan tidak puas hati pemain itu jelas terpancar apabila memilih untuk kekal berada di dalam bas pasukan tatkala rakan sepasukan menuju ke bilik persalinan di Stadium Raymond Kopa.
Kemudian Depay memilih untuk duduk memerhatikan rakan sepasukan yang lain memanaskan badan.
Sebelum ini Depay turut tidak teragak-agak meluahkan perasaan kecewa apabila dikeluarkan oleh jurulatih, Bruno Génésio ketika Lyon mengikat Hoffenheim 3-3 dalam pertandingan UEFA Champions League baru-baru ini.
Lyon mendahului dalam perlawanan tersebut sebelum Hoffenheim menyamakan kedudukan selepas Depay dikeluarkan.
Presiden Lyon, Jean-Michel Aulas dilaprkan akan berjumpa dengan pemain tersebut mengenai kenyataan dan sikap pemain itu, namun berkata beliau gembira dengan kesungguhan Depay.