Quantcast

ANALISIS TAKTIKAL

Analisis Taktikal: Lopetegui Tiada Jawapan Untuk ‘Tactical Tweaks’ Valverde

Lopetegui bertemu Valverde pertama kali di dalam el clasico sebagai pengurus.

Sejak awal lagi perlawanan ini akan dijangka akan lebih memihak kepada Barcelona meskipun pasukan itu kehilangan Lionel Messi. Barcelona membelasah Real Madrid dengan jaringan 5-1. Real Madrid tiada inspirasi untuk bangkit ataupun melawan terutama sekali selepas gol ke-3 Barcelona.

Lopetegui silap percaturan

Dalam perlawanan ini, Real Madrid diarahkan berada dalam situasi yang sangat kompak. Namun mereka tiada pelan efektif untuk mengekang ataupun menghentikan gerakan Barcelona di bahagian sayap. Sememangnya aspek kompak itu penting ketika bertahan. Tetapi dalam kes Real Madrid mereka hanya kompak tetapi tak agresif.

Lopetegui seolah-olah tidak pernah menonton aksi Barcelona. Pasukan yang gemar membuli lawan mereka dengan gerakan tambahan daripada bawah di bahagian sayap. Lihat gambar di bawah ini, Sergio Roberto dan Alba berada di sisi. Setiap kali 2 pemain ini mendapat bola, Real Madrid akan bermasalah untuk mematikannya.

Dalam asas bola sepak, pemain bek sisi lawan adalah tanggungjawab utama untuk pemain sayap menghentikan mereka.

Jadi, rumus asasnya adalah, Jordi Alba adalah tanggungjawab Bale manakala Sergi Roberto adalah tanggungjawab Isco untuk hentikan mereka. Isco dan Bale sangat teruk dalam aspek bertahan di bahagian sayap.

Terlalu kerap Jordi Alba sampai ke zon penalti/byline tanpa ada halangan ataupun gangguan daripada para pemain Real Madrid.

Ini antara gambaran bagaimana Barcelona memastikan 2 bek sisi Real Madrid tidak lari daripada sisi pandangan mereka. Menggunakan prinsipal asas ketika bertahan.

Bek sisi Barcelona memiliki hubungan yang kuat dengan pemain di atas dengan kemampuan mencetuskan ancaman secara langsung. Ini adalah catatan statistik Jordi Alba. Talian beliau dengan Coutinho sangat dominan.

Kemasukan Vazquez

Selepas melihat Varane menderita pada separuh masa pertama kerana ancaman dari Suarez, Lopetegui terpaksa mengeluarkan pemain itu. Mungkin kerana ada 1 kad kuning yang mendedahkan beliau kepada risiko kad merah. Kemasukan Vazquez ternyata memberikan impak positif pada separuh masa kedua,

Real Madrid bermain dengan sistem 3-5-2. Membolehkan mereka menolak Marcelo untuk naik ke atas dengan lebih ‘advance’. Ianya jelas membolehkan Real Madrid menekan Barcelona di tengah dengan unit pemain yang lebih ramai dan stabil di situ.

Vazquez memanipulasi ruang di belakang Jordi Alba. Satu pelan taktikal yang lebih baik daripad Real Madrid. Mereka memperoleh gol menerusi Marcelo dengan pendekatan yang membolehkan mereka memenuhkan (overload) kawasan kotak penalti dengan lebih cepat.

Dengan formasi ini, Barcelona bergelut untuk mengatasi Real Madrid. Walaupun Real Madrid memiliki jumlah pemain yang sedikit di belakang, Barcelona gagal untuk menyerang balas kerana Real Madrid mengurangkan penguasaan bola Barcelona. Taktikal Barcelona memerlukan penguasaan bola yang banyak dan mereka tidak ‘direct’.

Bila penguasaan bola berkurangan, impak mereka dalam perlawanan akan kurang. Itulah rumus yang mungkin diberitahu Lopetegui di dalam bilik persalinan. Namun apa yang berlaku selepas gol Marcelo, Real Madrid seakan-akan ‘shut down’.

Valverde ubah taktikal

Selepas mengesan pasukannya dalam kesukaran dan pada kedudukan 2-1, Real Madrid kelihatan mampu memenangi perlawanan ini dengan berterusan mencipta peluang. Sayang sekali pemain seperti Isco dan Benzema yang memanfaatkan beberapa peluang penting mereka.

Secara tak langsung, ketumpulan Madrid memberikan ruang untuk Barcelona memperbaiki sedikit kerosakan pada taktikal mereka. Valverde memasukkan Rafinho dan mengarahkan Sergi Roberto bermain sebagai no.8 sisi (wide attacking midfielder – dalam permainan FIFA posisi AML ataupun AMR). Semedo menjadi bek kanan.

Tidak berapa lama selepas itu Coutinho dikeluarkan kerana beliau banyak ‘bersiar-siar’ pada separuh masa kedua. Dengan adanya Dembele mereka mempercepatkan proses membawa bola (carrying) ke hadapan dengan mobiliti mereka ada. Baca kenyataan saya di atas di mana, Barcelona bukan pasukan yang direct dalam serangan.

2 ‘tactical tweaks’ ini sebenarnya membuatkan Barcelona ada elemen ‘directness’ bola dengan bola. Sergi Roberto dan Dembele bukan pemain yang suka berpusing-pusing dengan bola. Mereka akan membawa bola terus ke zon serangan.

Perubahan taktikal ini memberikan impak kerana Barcelona berjaya menyerang balas Real Madrid dengan segera. 2 ‘assist’ Roberto kepada Suarez dan 1 assist Dembele kepada Vidal bukti mereka berjaya dalam perubahan taktikal yang lebih ‘direct’ untuk membunuh Real Madrid menerusi ruang yang diberikan.

Selepas gol ke-3 Suarez, Lopetegui bermasalah untuk menyediakan pelan taktikal tambahan. Beliau hanya mampu melihat anak-anak buahnya cuba mengurangkan kerosakan (damage limitation). Mujur mereka tak kalah lebih besar.

Talian di antara Sergi Roberto dan Luis Suarez antara yang menghasilkan 2 daripada 3 gol penyerang Uruguay itu.

Rumusan

Ada 3 fasa penting dalam perlawanan ini. Pertamanya dominasi Barcelona pada separuh masa pertama. Keduanya, perubahan taktikal Real Madrid yang positif pada awal separuh masa kedua. Ketiganya, Barcelona merampas balik penguasaan dengan perubahan taktikal.

Jika Casemiro menyatakan Lopetegui tak harus dipersalahkan secara total, ianya ada benarnya. Perubahan taktikal Lopetegui pada awal separuh masa kedua, para pemain Real Madrid patut lebih tajam dalam menghukum Barcelona.

Namun Lopetegui tetap ada ‘saham’ dalam kegagalan Real Madrid kerana tidak ada pelan taktikal tambahan untuk mengekang Barcelona selepas perubahan oleh Valverde.

Isu seterusnya adalah Bale dan Isco tak membantu ketika bertahan pada separuh masa pertama. Pada separuh masa kedua pula, Real Madrid terlalu rapuh diserang balas ketika perubahan fasa ke-3 yang saya gariskan. Ditambah kesilapan Sergio Ramos yang melepaskan bola mudah.

Pemain-pemain Real Madrid kali ini jelas tidak ada inspirasi yang lebih baik di atas padang. Hanya Marcelo kelihatan memahami nilai el clasico ini dan apa maknanya bila anda kalah perlawanan ini.

Jelaslah Lopetegui ada jawapan pada taktikal asas Valverde tetapi tidak dapat menjawab fasa kedua tactical tweaks oleh pengurus Barcelona itu.

Pemain terbaik pilihan semuanyaBOLA

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!