Bekas kapten Terengganu FC (TFC), Lee Tuck mengimbas kembali pengalaman manis beraksi di pentas akhir Piala Malaysia 2018 sebelum ingin mengorak langkah bersama pasukan baharu, Pahang pada musim hadapan.
Pemain berusia 32 tahun itu mengakui TFC banyak memberi pengalaman dan pengajaran berguna untuknya mencipta nama dalam Liga Malaysia selepas dua musim bersama pasukan itu sejak tahun 2018.
Sebelum tahun 2020 berakhir, Lee Tuck tekad menyimpan seribu satu harapan baharu untuk mencipta memori bersama pasukan Pahang pula pada musim depan, tetapi tidak akan pernah lupa aura final Piala Malaysia yang pernah diharungi pada musim 2018 ketika menentang Perak.
Jelasnya, walaupun selepas ini bakal bersama Pahang selama dua musim, tetapi kehangatan dan kemeriahan di Stadium Shah Alam pada ketika itu sentiasa menyinggah diingatan tatkala dia sedar tidak lagi akan bersama TFC pada musim depan.
“Masa mula-mula dapat tahu saya tidak lagi akan bersama TFC pada musim depan, memang saya sedih sebab saya sayangkan pasukan itu dan sudah lalui macam-macam ketika bersama sejak 2018.
“Tetapi, saya enggan toleh ke belakang lagi dan mahu melangkah ke depan selepas ini, cuma macam-macam mana pun, benda yang saya tidak akan boleh lupa sudah pasti aksi final Piala Malaysia 2018.
“Walaupun kami tewas kepada Perak, suasana dan kehangatan yang dirasai selain persiapan menuju ke final itu cukup memberi kesan mendalam dalam hati saya.
“Stadium juga begitu penuh dengan penyokong dan itu yang paling saya akan ingat sampai bila-bila dan berharap kenangan seperti itu akan ada juga apabila saya beraksi bersama Pahang musim depan,” jelasnya.
Lee Tuck ketika ini sedang meluangkan masa bersama keluarga tercinta di kampung halamannya, England sejak bulan lalu dan menyifatkan ini adalah masa yang sangat berharga sebelum menempuh musim 2021 bersama pasukan baharu.
Apatah lagi, dia merasakan musim 2020 sudah cukup memberi cabaran kepadanya dan sekeluarga dalam situasi pandemik Covid-19 dan kali ini bersyukur apabila dapat membawa pulang isteri dan anaknya ke England sebelum kembali semula ke Malaysia pada Januari depan.
“Saya sangat gembira dapat berada bersama ibu bapa saya di sini, dan isteri serta anak juga rindukan mereka apatah lagi kami semua sudah mengharungi pelbagai cabaran untuk hadapi COVID-19 pada tahun ini.
“Jadi, saya tidak mahu sia-siakan masa yang ada ini, malah anak saya sudah menginjak umur setahun setengah dan dia sangat gembira apabila dapat bertemu dengan keluarga di sini.
“Cuaca di sini sangat sejuk, dan segalanya cukup sempurna untuk saya lebih bersedia memulakan musim 2021 dengan semangat baharu apabila kembali ke Malaysia pada bulan hadapan”, tambah Lee Tuck lagi.
Kredit featured image: Terengganu Football Club
Baca artikel lain dari kami mengenai Lee Tuck:
Pemain Naturalisasi: Tan Cheng Hoe ‘Minat’ Lee Tuck & Gonzalo Cabrera