Memang Penyokong Wajar Meratapi Ketiadaan Arif Aiman, Kenapa?

Arif Aiman Malaysia Hong Kong 2022 meratapi 2023

Arif Aiman Hanapi dan Endrick dos Santos sah dilepaskan daripada kem skuad kebangsaan, tetapi perlukah penyokong Harimau Malaya meratapi?

Kedua-dua pemain dikhabarkan mengalami kecederaan sehingga memaksa nama mereka diketepikan untuk aksi berdepan Hong Kong pada Selasa.

Arif awal-awal lagi sudah menimbulkan pertanyaan di kalangan penyokong apabila beliau tiada dalam kesebelasan utama dan bangku simpanan skuad kebangsaan ketika mereka menewaskan Turkmenistan pada Khamis.

Endrick pula dipersoalkan prestasinya yang dilihat gagal menampilkan aksi yang dimahukan dan tenggelam saat diberikan debut skuad negara.

Tak perlu ratapi, raikan pilihan lain

Adakah ‘kehilangan’ mereka ketika mengatasi Turkmenistan memberi impak besar? Mungkin ada, tetapi masih ada pemain lain yang boleh diharapkan.

Penyokong Harimau Malaya tidak perlu meratap mendengar khabar itu.

Ini peluang buat pemain lain untuk beraksi. Kita tentu mahu melihat lebih lagi aksi Nooa Laine. Apa yang ditonjolkannya ketika menggantikan Endrick di babak kedua tempohari masih belum cukup mengujakan kita semua.

Malah, menurut penganalisa di Astro Arena, Chun Hang, kualiti yang dipamerkannya tempohari boleh didapati daripada tonggak lain seperti Akram Mahinan, Kenny Pallraj dan Hong Wan – ketiga-tiganya tidak dipanggil untuk bersama skuad kebangsaan kendalian Kim Pan-gon.

Jadi, ini peluang buat dirinya untuk menonjolkan kemampuan sebenarnya.

Selain Laine, skuad kebangsaan memiliki Stuart Wilkin yang sudah meledak empat gol dalam lapan penampilannya. Syamer Kutty Abba dan Nor Azam Azih juga sentiasa bersedia di bangku simpanan untuk diberikan peluang.

Kini persoalan pula timbul, mampukah Wilkin atau Laine menyerlah nanti?

Posisi Arif Aiman paling kritikal?

Untuk menggantikan Endrick rasanya pilihan yang ada pun sudah cukup berkualiti. Bagaimana pula untuk Arif Aiman? Ini posisi paling kritikal yang perlu diisi dengan baik oleh mana-mana pemain yang dimasukkan.

Faisal Halim dan Akhyar Rashid mungkin pilihan terbaik yang ada tetapi masih tidak sebaik Arif. Faisal masih bergelut dengan prestasinya di saingan liga bersama Selangor, sementara Akhyar pula hanya nadi skuad kebangsaan tetapi pemain ‘lapisan’ ke-3 di Johor Darul Ta’zim (JDT).

Malaysia memerlukan pemain yang memiliki permainan seperti Arif yang sukar diduga. Terdapat tiga perkara yang menyerlah tentangnya iaitu dari segi kebolehan teknikalnya, secara taktikal pasukan dan psikologinya.

Kita tidak boleh nafikan, pemain ini adalah tunjang skuad negara waima berusia 20 tahun. Jika dilihat, taktikal Kim dibina dengan kualitinya.

Arif sangat baik dari segi kelajuan atau ‘pace’ serta sangat ‘superior’ dalam situasi satu lawan satu. Selain itu, beliau juga sangat ‘flexible’ – boleh main sebagai pemain sayap dalam sistem 4-3-3 atau ‘wing-back’ dalam sistem bek bertiga. Malaysia akan menggunakan koridor sayap sepenuhnya.

Kelebihan ketiganya adalah dari segi psikologi iaitu beliau tampil matang dan profesional dalam permainannya. Beliau juga seorang yang fokus dan berani dalam cuba mencipta sesuatu saat bola berada di kakinya.

Pernah dilabel ‘a very good provider’ oleh ‘scout’ luar negara

Akaun Twitter We Are Scouting pernah melabelkan Arif Aiman sebagai penghantar bola yang efisyen. Mereka adalah pasukan scouting dengan kekuatan 15 pemerhati bakat yang berpangkalan di Sepanyol.

Selain memiliki hantaran yang hampir tepat – sekitar 50 peratus ketepatan, Arif merupakan pemain terbanyak membuat hantaran lintang dalam tempoh 90 minit aksi iaitu lebih daripada enam, jauh meninggalkan Manuel Hidalgo, Faisal Halim, Quentin Cheng, Hein Htet Aung dan Adib Raop.

Masih ingat ketika Malaysia membenam Hong Kong 2-0 dalam aksi persahabatan pada Jun lalu? Arif adalah antara pemain yang menyerlah.

Melihat Touch Map Arif ketika berdepan Hong Kong membuktikan takrifan tersebut. Beliau tidak sesekali masuk ke kotak penalti, tetapi beliau adalah pemain yang gemar membuat hantaran lintang kepada penyerang.

Beliau banyak berlegar di sebelah koridor kanan dari middle third sehingga ke final third. Pengakhiran kepada gerakannya adalah sama ada hantaran lintang atau cut-back kepada penyerang di dalam kotak penalti lawan.

Dengan memiliki kepakaran membuat hantaran tepat dan persefahaman bersama Matt Davies, inilah kekuatan sebelah sayap kanan skuad negara.

Ada mana-mana pemain dalam skuad negara pada ketika ini yang mampu memberikan apa yang beliau telah berikan kepada Harimau Malaya?

 

Faisal perlu keluar dari kepompong tekanan

Akhyar mungkin boleh dikatakan mampu memberikan kelainan setiap kali diberikan peluang, tetapi untuk Faisal, beliau sedang terbeban saat ini.

Dihujani kritikan atas kehilangan sentuhan jaringan, barangkali beliau sudah cukup terbeban sehingga keluar kenyataan, “saya perlu meminta maaf.

Oleh itu, beliau perlu keluar dari kepompong tekanan mental dengan memberikan yang lebih untuk aksi berdepan Hong Kong. Malaysia mengharapkannya ketika ini untuk menjana asakan dan mungkin gol dari sebelah sayap. Jika tidak, secara realitinya, Malaysia juga bakal bergelut.

Tidak pasti bagaimana Kim bakal menggarap taktikalnya kali ini selepas melihat kemelut prestasi Faisal. Akhyar pula tidak dapat dipastikan tahap kecergasan selepas terpaksa dikeluarkan dalam keadaan cedera tempohari.

Formasi 3-5-2 adalah pilihan terbaik saat ini dengan mengharapkan pemain ‘wing-back’ untuk mengeksploitasi ruang dan peluang menjana asakan.

Kita memiliki set pemain ‘wing-back’ yang eksplosif antaranya Corbin Ong dan Daniel Ting selain ada juga yang berkemampuan membuat hantaran berkualiti seperti Matt Davies dan Quentin Cheng. Jadi terpulang kepada barisan kejurulatihan skuad negara untuk menggunakannya nanti.

Maka, adakah kita perlu meratapi ketiadaan Arif Aiman ataupun Endrick pada saat ini? Jawapannya ada pada anda, penyokong Harimau Malaya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN