Memahami Peraturan Kawalan Ekonomi La Liga Yang Memisahkan Messi Dengan Barcelona

Lionel Messi Barcelona

Ketika beberapa media pada awalnya malaporkan bahawa rundingan dan persetujuan Lionel Messi bersama Barcelona berkenaan kontrak baharu selama lima tahun akan dimuktamadkan, sebaliknya pula yang berlaku.

Barcelona telah membuat satu pengumuman rasmi yang cukup mengejutkan bahawa pemenang enam kali anugerah Ballon d’Or itu disahkan tidak akan bersama kelab gergasi Sepanyol tersebut untuk musim baharu ini.

Berita buruk itu pantas direspon oleh penyokong Barca yang membuat demonstrasi di perkarangan Nou Camp bagi membantah keputusan kelab.

https://twitter.com/_fayol5/status/1423426510535467011?s=20

Sebab utama kepada kegagalan untuk mengikat kontrak baharu penyerang Argentina itu adalah disebabkan peraturan kewangan atau kawalan ekonomi (ECP) La Liga yang sangat ketat.

Ini bermakna Lionel Messi akan meninggalkan kelab Catalan itu sebagai ejen bebas dan dibenarkan untuk menyertai mana-mana kelab secara percuma memandangkan kontraknya telah pun tamat pada 30 Jun lalu.

“Meskipun persetujuan telah dicapai di antara Barcelona dan Lionel Messi bahawa kedua-dua pihak bersetuju untuk menandatangani kontrak baharu pada hari ini, ia tidak dapat diteruskan disebabkan halangan ekonomi (peraturan Liga Sepanyol),” ujar Barcelona dalam kenyataan rasminya.

Kewangan Barcelona yang tenat

Apa yang mengejutkan kini, Barcelona bukan sahaja tidak dapat mendaftarkan Messi sebagai pemain mereka untuk musim ini tetapi empat pemain baharu lain Sergio Aguero, Memphis Depay, Eric Garcia dan Emerson Royal juga berkemungkinan berdepan dengan masalah yang sama.

Ia sudah pasti merungsingkan pihak pengurusan Barcelona yang kini berdepan dengan kesuntukan masa dengan aksi pertama La Liga menentang Real Sociedad akan berlangsung dalam tempoh 10 hari sahaja lagi.

https://twitter.com/FCBarcelonaFl/status/1423449811790008323?s=20

Puncanya adalah disebabkan masalah kewangan yang sedang dihadapi oleh Barcelona di mana kini mereka beroperasi dalam keadaan perbelanjaan melebihi pendapatan.

Apa itu peraturan kawalan ekonomi La Liga?

Menerusi ECP ini, pada awal musim setiap pasukan bertanding diwajibkan untuk menyerahkan bukti serta dokumen mengenai sumber pendapatan dan kekuatan kewangan kelab dari sudut kemampuan untuk menampung kos operasi dan perbelanjaan pasukan sehingga akhir musim.

Ia akan dinilai secara terperinci dari sudut pendapatan yang terhasil dari penajaan, keuntungan perniagaan, pemasaran, pelaburan serta struktur pembayaran hutang.

Audit akan dibuat untuk menentukan tahap kemampuan setiap kelab bertanding bagi memastikan tiada pasukan yang berbelanja lebih daripada had yang dibenarkan.

Had gaji yang diperkenalkan oleh La Liga ini telah pun dipersetujui secara demokratik iaitu menerusi undian majoriti oleh semua ahli gabungan atau kelab-kelab bertanding sebagai langkah terbaik untuk setiap pasukan tidak berbelanja melebihi kemampuan kewangan mereka.

Ia merupakan kaedah sama yang cuba dicontohi oleh badan pengelola Liga Malaysia (Liga-M) iaitu Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang berhasrat untuk memantapkan lagi tahap profesionalisme dan kemajuan bola sepak Malaysia.

Justeru itu, tiada sebarang keistimewaan atau pengecualian untuk Barcelona walaupun mempunyai status selaku salah satu kelab paling berjaya dalam sejarah bola sepak Sepanyol.

Had gaji maksimum

Menurut laporan oleh The Athletics, berdasarkan audit yang dibuat oleh pihak La Liga, had pembayaran gaji yang mampu dibayar oleh Barcelona adalah sebanyak €160 juta (RM798 juta) sahaja.

Untuk memahamkan konteks masalah besar yang sedang dihadapi oleh Barcelona ini, nilai €160 juta itu kurang suku daripada jumlah keseluruhan gaji yang dibayar oleh Barcelona pada musim 2019/20 iaitu sekitar €671 juta yg juga merupakan pembayaran gaji tertinggi oleh sebuah kelab dalam dunia sukan.

Apa yg jelas, penurunan yang amat ketara itu adalah disebabkan keadaan kewangan Barcelona yang semakin meruncing dan diburukkan lagi dengan krisis pandemik yang mula melanda sejak tahun lalu sehingga menjadikan hutang kelab sudah tidak terkawal.

Oleh yang demikian, untuk memastikan Barcelona mematuhi had gaji yang dibenarkan, pihak pengurusan kelab perlu mengurangkan kira-kira €200 juta daripada bil gaji pemain semasa dan mereka tiada pilihan lain kecuali menstrukturkan semula gaji lumayan yang diterima pemain-pemain utama.

Bayangkan untuk menyelesaikan rundingan dengan pemain-pemain sedia ada pun sudah berdepan dengan pelbagai kerenah dan masalah, apatah lagi untuk memuktamadkan rundingan gaji dengan Messi yang merupakan salah seorang penerima gaji tertinggi di dunia.

Menurut laporan, gaji Messi adalah €584,000 seminggu, tetapi menurut sumber dari Football Leaks, pemain berusia 34 tahun itu menerima €988,000 seminggu termasuk bonus yang menjadikan pembayaran gajinya sahaja telah mencecah €60 juta setahun.

Walaupun laporan mengatakan Messi bersedia untuk menerima gaji dengan potongan 50 peratus daripada jumlah yang diterima olehnya sebelum ini, nilai itu masih terlalu besar untuk disesuaikan dengan had gaji maksimum yang dibenarkan oleh peraturan kawalan ekonomi La Liga.

Langkah sukar

Cara lain yang dapat membantu Barcelona tentulah dengan menjual atau melepaskan beberapa pemain bergaji tinggi di kelab itu. Antara dua pemain yang menerima gaji tinggi di Barcelona adalah Philippe Coutinho dan Ousmane Dembele, tetapi kedua-duanya kini dilanda kecederaan yang ia menghalang mereka dari meninggalkan pasukan.

Samuel Umtiti dan Miralem Pjanic pula adalah pemain yang dikatakan sudah tiada dalam perancangan Ronald Koeman, namun kedua-dua telah menolak tawaran untuk penamatan kontrak dan dilepaskan sebagai ejen bebas.

Terdapat juga spekulasi yang melaporkan Antoine Griezmann bakal meninggalkan kelab, tetapi tiada pasukan yang sudi untuk membelinya disebabkan faktor tag harga dan permintaan gajinya yang begitu tinggi.

Tiga lagi pemain yang menerima gaji lumayan – Sergio Busquests, Jordi Alba dan Gerrard Pique – semuanya masih kekal menjadi pemain penting di Nou Camp dan mereka juga telah pun bersetuju dengan pemotongan gaji yang ditawarkan oleh pihak pengurusan kelab.

Usaha untuk pemotongan gaji ini sudah pun giat dijalankan sejak tahun lalu apabila kelab berdepan dengan risiko difailkan bankrup dan memulakan perbincangan dengan pemain mereka melalui wakil dan peguam untuk rundingan pemotongan gaji sehingga 30 peratus.

Penutup

Musibah kewangan Barcelona ini akan berterusan sekiranya kelab tersebut gagal untuk mengimbangkan perbelanjaan dan pendapatan mereka bukan sahaja untuk jangka masa panjang, tetapi ia sudah pun memudaratkan pengurusan jangka masa pendek.

Apa yang pasti, perjalanan Messi bersama Barcelona sudah pun terhenti dengan rasminya dan sudah tentu ia satu keputusan yang cukup menyedihkan penyokong setia The Blaugrana.

Persoalannya kini, pasukan manakah yang akan menjadi destinasi pilihan Messi untuk meneruskan karier gemilangnya selepas ini?

Ia pastinya berita baik untuk beberapa pasukan yang mempunyai kewangan kukuh dimiliki oleh ‘taikun-taikun’ besar seperti Paris Saint-Germain dan Manchester City.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN