Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), telah menafikan khabar angin bahawa bekas penyerang Deshorn Brown akan menandatangani kontrak bersama Bengaluru FC.
Melaka United sebelum ini sudah mengumumkan bekas pemain DC United itu akan bersama mereka menghadapi musim akan datang.
Menurut MUSA, penyerang berusia 28 tahun itu akan terus kekal bersama Melaka United (MU) menerusi kontrak persetujuan yang akan ditandatangani dalam masa terdekat.
Presiden MUSA, Damian Yeo Shen Li yakin bahawa Brown tidak akan memilih kelab lain.
Yeo Shen Li berkata: “Memang ada dengar-dengar Bengaluru FC ingin mendapatkan khidmat dia.”
“Tetapi, tak mudah untuk saya lepaskan Brown, kerana kesemua perkara melibatkan elaun dan beberapa perkara lain telah selesai dibincangkan.
“Dia juga meminta kontrak selama dua tahun bersama MU dan kita bersetuju dengan syarat dia mesti mengekalkan prestasinya dan mencapai sesuatu yang membanggakan seperti penjaring terbanyak atau sebagainya,” katanya.
Shen Li turut memberikan jaminan bahawa MUSA sudah ada senarai kecemasan sekiranya Brown tidak menyarung jersi Melaka.
“Sudah tentu kita ada ‘back up’. Tetapi, dari sudut pengurusan, kita yakin dengannya dan tak akan lepaskan dia pergi.”
“Jangan main-main dengan saya,” jelasnya lagi kepada Melakakini.