Pengurus pasukan Melaka United, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi optimis pasukan itu dapat meraih 3 mata penuh apabila bakal bertandang ke Stadium Kuala Lumpur, Cheras malam ini untuk perlawanan kedua saingan unifi Liga Super Malaysia 2018.
Yusoff menyifatkan pertemuan itu sebagai ujian sebenar buat skuad Sang Kancil sama ada mereka adalah sebuah pasukan yang benar-benar bersedia atau masih dalam mencari rentak.
“Dengan prestasi semasa yang ditunjukkan skuad bimbingan, Eduardo Almeida selepas menewaskan Kelantan pada perlawanan pertama Sabtu lalu, motivasi para pemain berada di tahap terbaik.
“Saya yakin mereka sudah pasti mahu kalahkan Selangor untuk membuktikan kemampuan dan seterusnya meningkatkan tahap permainan untuk menempatkan diri dalam barisan utama,” katanya kepada Kosmo.
Beliau juga memuji prestasi pemain pasukan itu yang dilihat menyerlah ketika menewaskan Kelantan, 2-1 dalam perlawanan pertama Liga Super.
“Antaranya seperti penyerang, Yahor Zubovich serta Azmi Muslim di samping bahagian tengah dan pertahanan yang lebih bagus. Mereka memainkan peranan masing-masing dengan baik dalam perlawanan sebelum ini.
“Kemenangan itu telah beri kita keyakinan lebih tinggi, namun kita tidak mahu mereka leka sebaliknya mengekalkan prestasi dan cuba dapatkan kemenangan untuk mengukuhkan kedudukan dalam liga,” katanya.
Kelantan terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah menerusi gol awal penyerang Bruno Da Silva Lopes seawal minit pertama yang mudah menolak masuk bola ke gawang MU hasil sepakan percuma rakan sepasukannya.
Tersentak dengan gol awal tersebut, Melaka United memperkemaskan jentera serangan dan berjaya memperoleh gol penyamaan menerusi penyerang importnya, Yahor Zubovich pada minit yang bijak melepasi perangkap offside pada minit ke-11.
Melaka kemudiannya dihadiahkan sepakan penalti selepas menerima terjahan keras daripada Nik Mohd Shahrul ke atas S.Chanturu sebelum Jeon Woo-young dengan tenang menewaskan penjaga gol Kelantan, Mohamad Ramdhan untuk Skuad Hang Tuah di depan pada minit ke-30.
Keputusan 2-1 itu kekal sehingga wisel penamat yang menceriakan penyokong Skuad Hang Tuah dengan kejayaan mengutip tiga mata di halaman sendiri.