Andik Vermansah Pemain Import Kelima Helang Merah?

Bekas pemain Selangor, Andik Vermansah mengakui ada menerima tawaran daripada beberapa kelab yang serius untuk mendapatkan khidmatnya.

Namun, pemain sayap skuad kebangsaan Indonesia itu masih belum membuat keputusan mengenai hala tujunya setelah kontraknya bersama Selangor berakhir.

Menurut laporan daripada media Indonesia, antara kelab yang berminat untuk memancing Andik ialah 3 kelab dari Liga Indonesia iaitu Madura United, Bali United, Persib Bandung dan juara Piala FA 2017, Kedah.

“Banyak tawaran yang serius. Namun sampai sekarang saya belum membuat keputusan lagi,” kata Andik kepada JawaPos.com.

Minggu lalu, bekas jurulatih JDT, Mario Gomez meluahkan hasrat untuk membawa Andik ke pasukan Persib Bandung.

Jurulatih yang berasal dari Argentina itu mengakui kualiti yang dimiliki oleh Andik Vermansah. Beliau yang pernah mengendalikan pasukan JDT, telah pun melihat corak permainan Andik ketika dalam saingan Liga Malaysia.

Aksi Andik ketika menentang JDT dalam saingan Liga Super 2014.

Sementara itu, pengurus peribadi Andik Vermansah, Muly Munial enggan mengulas lanjut mengenai kelab yang akan disertai oleh pemain itu.

”Andik? Kalian tanya sendiri kepada tuan punya badan,” kata Muly kepada BolaSport.com

”Yang pasti, saya percaya dengan Andik kalau setiap keputusannya pasti positif.” jelasnya.

Walaupun Muly dan Andik berdiam diri mengenai identiti kelab itu, tetapi media dari Indonesia memberi petanda Andik akan kembali ke Malaysia sebelum pintu perpindahan Liga M ditutup sepenuhnya.

Laporan akhbar tempatan tahun lepas turut menyebut Andik enggan pulang beraksi dalam saingan Liga Indonesia dan mahu terus beraksi dengan mana-mana pasukan Liga Super yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya setelah kontraknya bersama Selangor sudah berakhir.

Hal ini kerana beliau masih trauma dengan apa yang terjadi dalam bola sepak Indonesia.

Konflik pepecahan yang berlaku dalam skuad Persebaya masih menghantuinya. Beliau dan keluarganya pernah menjadi sasaran orang yang tidak dikenali melalui surat ugutan yang mengancam keselamatan keluarganya.

Walaupun konflik itu sudah berakhir, Andik masih tidak yakin dengan keadaan bola sepak Liga Indonesia.

“Saya kira semua orang sudah tahu bagaimana keadaan bola sepak Indonesia. Setiap musim selalu ada macam-macam masalah yang boleh mengganggu perjalanan liga.

“Tetapi bukan bererti saya tidak akan kembali, setelah saya berasa yakin barulah saya akan pulang ke Indonesia.

“Bagi saya, isu tidak ditawarkan kontrak adalah perkara biasa dalam dunia bola sepak profesional dan saya menerima jika itu yang berlaku.

“Namun, pulang ke Indonesia bukanlah pilihan utama saya buat masa ini kerana saya mahu terus beraksi di negara ini pada musim akan datang,” jelasnya.

Kedah kini diperkuatkan oleh 4 pemain import iaitu Liridon Krasniqi, Sandro Mendonca, Pablo Pallares, dan Alvaro Silva. Meskipun Alvaro Silva dilahirkan di Sepanyol, beliau merupakan warganegara Filipina dan bakal mengisi slot pemain import Asean Kedah. Jika Andik diambil, beliau dijangka akan didaftar dalam slot pemain Asia bagi pasukan utara Malaysia itu yang masih kosong.

Selain Andik, penyerang berpengalaman skuad kebangsaan Indonesia, Boaz Salossa juga turut dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan Helang Merah.

Jika khabar angin ini menjadi kenyataan, Andik atau Boaz menjadi pemain kelima dari Indonesia yang beraksi dalam saingan Liga Super musim ini selain Ferdinand Sinaga (Kelantan), Achmad Jufriyanto (Kuala Lumpur), Evan Dimas (Selangor) dan Ilham Udin Armayn (Selangor).

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN