Kelibat Eric Williams tidak kelihatan ketika perlawanan membabitkan Melaka United menentang pasukan The Fighters dalam perlawanan Liga Super pada hujung minggu yang lalu.
Melaka tewas kepada pasukan Felda dengan jaringan 3-0 dalam perlawanan tersebut. Sehingga kini, belum ada keputusan diambil berkenaan kedudukan dan nasib pengendali berbangsa Inggeris berusia 61 itu.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung Melaka United Soccer Assocciation (MUSA), Datuk Yusoff Mahadi menjelaskan bahawa satu keputusan akan diambil berkenaan kedudukan Williams di dalam minggu ini.
Yusoff diajukan soalan berkenaan Melaka United oleh wartawan ketika melakukan tinjauan persiapan skuad bola sepak negara menjelang Sukan SEA pada malam tadi.
“Melaka memerlukan perubahan drastik selepas persembahan menentang Melaka. Keputusan lalu menunjukkan kita tidak mampu bersaing. Melaka perlu melakukan perubahan secara drastik,” ujar Yusoff.
Ketika ditanya lebih lanjut, beliau menjelaskan perubahan yang diambil oleh pihak pengurusan MUSA melibatkan perubahan di kalangan pemain dan barisan kejurulatihan sedia ada.
“Sebelum ini kami hanya merancang untuk melakukan dua pertukaran pemain import. Sekarang kami mempertimbangkan untuk melakukan tiga pertukaran.”
“Untuk jawatan ketua jurulatih, kami akan membuat keputusan berkenaan pada minggu ini. Kami telah menandatangani Jasmin untuk menggantikan Godwin dan Felipe untuk Aguero.”
“Persoalannya sekarang ialah Spaso. Ini kerana beliau gagal menunjukkan persembahan yang meyakinkan ketika menentang Felda.”
“Kami turut cuba untuk mendapatkan beberapa pemain tempatan daripada pasukan JDT II dan Pahang,” tambah Yusoff lagi ketika menjawab soalan wartawan.
Difahamkan salah seorang pemain yang sedang diintai oleh pihak pengurusan MUSA adalah dari pasukan JDT II, Fandi Othman.
Melaka United turut menanti status Jordan Yong yang masih menunggu status permohonan passport Malaysia, sebelum mendaftarkannya dalam jendela perpindahan pertengahan musim ini.
Di sebalik kemelut prestasi yang menyelubungi pasukan negeri Hang Tuah, Yusoff menjelaskan bahawa pintu masih terbuka untuk Eric Williams meneruskan tugassya sehingga ke penghujung musim.
Perselishan di bilik persalinan dan keadaan tidak senang dengan kaedah latihan William dikatakan adalah punca keputusan buruk pasukan berkenaan kebelakangan ini.
Tidak mudah untuk Datuk Yusoff Mahadi untuk melepaskan Williams. Beliau berpendapat pengendali yang pernah berkelana di Indonesia dan Myanmar itu memiliki kualiti yang baik.
Bagaimanapun, matlamat dan objektif sekarang ialah untuk memastikan pasukan Melaka United kembali mencabar dan kekal di saingan Liga Super dan Piala Malaysia.
“Saya mempunyai senarai calon untuk jawatan ketua jurulatih, namun kita perlu melihat perkara ini secara lebih mendalam. Pada saya, Eric adalah jurulatih yang baik.”
“Masalahnya ialah beliau sukar untuk bekerja dan membentuk persefahaman dengan pemain. Pemain kelihatan seperti sukar untuk menerima kaedah latihan beliau.”
“Saya akan bertemu dengan barisan pemain setelah mereka kembali dari bercuti. Saya hanya mahukan keharmonian di dalam pasukan. Kita tidak boleh mengambil pemain-pemain baharu hanya kerana barisan sedia ada tidak boleh bekerja dengan jurulatih.”
“Ada kemungkinan Eric akan terus bersama Melaka United jika pemain boleh menyesuaikan diri. Saya melihat ada perselisihan di dalam pasukan dan saya berharap perkara ini boleh diselesaikan apabila saya bersemuka dengan semua pihak,” jelas Datuk Yusoff Mahadi kepada wartawan.
Pada masa ini Melaka United menduduki tangga ke-11 Liga Super Malaysia selepas 13 perlawanan. Jelas sesuatu perlu dilakukan segera oleh bekas Juara Liga Perdana musim lalu ini jika ingin mengekalkan diri dalam persaingan Liga Super pada musim hadapan.