Melaka United dilihat boleh dikatakan di antara pasukan Liga Malaysia (Liga-M) yang begitu aktif dalam membuat persiapan pasukan untuk menghadapi saingan musim hadapan. Dalam tempoh beberapa minggu ini, mereka sudah pun mengumumkan kemasukan pemain-pemain baharu.
Pada Jumaat, Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) turut memeterai perjanjian penajaan bersama syarikat pengeluar barangan sukan terkemuka, Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd selama dua musim yang menyaksikan Melaka United akan menggunakan jenama AL sebagai jersi pasukan.
Al-Ikhsan Sports, Melaka United Jalin Kerjasama Selama Dua Musim – https://t.co/YWjs9vxtPC pic.twitter.com/wzNvd8GbwG
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) December 6, 2019
Bekas pemain kebangsaan, Zainal Abidin Hassan pula terus diberi kepercayaan untuk membimbing pasukan berkenaan untuk satu musim lagi dan sudah tentu beliau telah diberikan sasaran yang realistik untuk dicapai.
Memetik laporan Bernama, Zainal mengatakan, beliau percaya gandingan pemain baharu dan lama yang dibentuk mampu menyaingi pasukan lain terutama dalam saingan Liga Super dan sekaligus memperbaiki pencapaian menduduki tangga keenam pada musim ini.
Sekalipun hala tuju pasukan kini tertumpu kepada langkah penjimatan dan melatakkan bajet perbelanjaan yang rendah, skuad Sang Kancil itu sudah pun memiliki 26 pemain di dalam senarai pasukan dan dijangka memulakan latihan rasmi bermula pada minggu hadapan.
Zainal diberikan kuasa penuh untuk memilih pemain-pemain baharu yang beliau yakin mempunyai potensi dan pengalaman bersesuaian dengan bajet yang diperuntukkan oleh pihak pengurusan.
“Setakat ini tidak ada pemain yang melebihi bajet, namun dalam setiap posisi ada kelebihan satu pemain yang mempunyai kekuatan sama, jika digantung atau menerima kad kuning, kita tidak perlu risau kerana mereka mampu mengantikan posisi berkenaan.
“Paling penting kini, ialah bagaimana kita mahu ‘mencantumkan’ mereka, mencari keserasian sebagai sebuah pasukan dan saya percaya dengan persiapan rapi dilakukan, serta kebajikan pemain dijaga pasukan ini berada dalam tahap terbaik,” ujar jurulatih berusia 58 tahun itu.
3 lagi pemain musim lalu kekal bersama Melaka United bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2020.
Mereka termasuk Pemain Pertahanan, Razman Roslan, Pertahanan Kanan, Wan Amirul Afiq Wan Ab Rahman serta Pemain Tengah Bertahan (Defensive Midfielder), Saiful Ridzuwan Selamat. pic.twitter.com/PNZr5nypQN
— Melaka United FC (@MelakaUnitedFC) November 19, 2019
Sementara itu, Presiden MUSA, Damian Yeo Shen Li yang ditemui selepas majlis menandatangani kontrak penajaan tersebut memaklumkan, pihaknya berterima kasih kepada pihak Al-Ikhsan yang sudi memberikan penajaan penuh yang turut melibatkan skuad bawah 21 tahun (B-21), B-19, B-17, pasukan wanita serta skuad futsal lelaki dan wanita.
“Pihak persatuan cukup berbangga apabila jenama terkemuka yang pernah menaja pasukan-pasukan besar lain di Liga Malaysia memilih Melaka United, antara pasukan yang menerima tajaan jersi Al-Ikhsan.
“Kita percaya kualiti yang dimiliki juga mampu menyumbang kepada kejayaan sesebuah pasukan dan tidak mustahil membantu serta memacu kejayaan skuad ini dalam tempoh terdekat,” katanya lagi.