Melaka United Kata Sudah Selesai, Curran Ferns Dedah Sebaliknya

curran ferns Melaka United ROTP 2021

Melaka United baru sahaja mengeluarkan kenyataan mengenai tunggakan gaji yang khabarnya sudah diselesaikan kecuali yang melibatkan pemain import, Narupon Wild.

Semalam, menurut laporan di New Straits Times, Ketua Pegawai Eksekuti (CEO) Melaka United, Datuk Saiful Mat Sapri mengesahkan yang pihaknya telah menerima hukuman larangan pendaftaran pemain di jendela perpindahan kedua, Julai depan.

Berbeza nada pada hari ini, laman sosial rasmi Melaka United telah memuat naik kenyataan media mengenai isu yang sama, namun telah menyatakan yang mereka telah menjelaskan tunggakan gaji para pemain mereka antaranya Uche Agba dan Curran Ferns. Dan, menurutnya, mereka belum lagi dikenakan hukuman.

Hanya sangkut tunggakan Narupon Wild

Menurutnya, “Tunggakan keseluruhan gaji bagi bekas pemain import, Narupon Wild Putsorn akan dilunaskan dalam masa terdekat bagi mengelakkan tindakan larangan pendaftaran pemain pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia 2021.”

Melaka United bersama Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) juga dikatakan telah berjaya melunaskan tunggakan yang mencecah lebih RM915,000.00 keseluruhannya.

Tambah kenyataan yang dikeluarkan oleh Saiful Mat Sapri itu sambil menyatakan yang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KSWP) pemain juga telah berjaya dilunaskan, “Pembayaran berjadual ini membabitkan seramai 17 pegawai pasukan musim lalu dan 18 pemain yang masih kekal bersama Melaka United.”

Skuad Hang Tuah juga dikatakan komited menyelesaikan segala tunggakan bagi memastikan penyertaan mereka dalam Liga Malaysia 2021 tidak berdepan masalah.

Curran Ferns dan PFAM bersuara

Apabila dikatakan semua tunggakan dengan Curran Ferns telah selesai, pemain itu telah mengeluarkan kenyataan di media sosialnya menyangkal khabar tersebut.

Jelasnya di Insta Story, di Instagramnya memberikan respon kepada kenyataan media tersebut, “Berita palsu. [Melaka United] belum bayar apa-apa pun lagi [kepada saya].”

Jadi, mana satu yang boleh dipercayai? Kenyataan media daripada Melaka United atau kenyataan pemain tersebut di laman sosialnya? Kita boleh menyemak pula kepada pihak yang turut menerima aduan daripada pemain kacukan Malaysia-Australia itu iaitu Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM).

Menurut kenyataan yang dimuat naik di laman Twitter PFAM, pemain Piala Presiden dan Curran Ferns setakat ini belum menerima bayaran daripada Melaka United.

CEO PFAM, Izham Ismail pula turut ‘mengutuk’ dan melabelkan tindakan yang dibuat oleh Melaka United sebagai, “Kenyataan yang sangat tidak bertanggungjawab.”

Sudah dihukum atau belum?

Sebenarnya, Melaka United sudah dihukum ataupun sedang dalam proses untuk mengelak daripada dihukum oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA)?

Kenyataan daripada individu yang sama yang merupakan CEO pasukan kepada New Straits Times dan laman sosial pasukan dilihat berbeza. Semalam, Semuanya BOLA telah mengeluarkan artikel tentang hukuman yang telah dijatuhkan oleh FIFA itu.

Melaka United menjadi pasukan pertama pada tahun 2021 yang gagal melunaskan tunggakan gaji bekas pemain, Narupon Wild dalam tempoh 45 hari seperti yang diarahkan oleh FIFA. Dan mereka menjadi pasukan pertama yang dijatuhkan hukuman oleh FIFA sebelum kalender baharu Liga Malaysia membuka tirainya.

Mengejutkan apabila kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, nadanya berbeza.

KREDIT FEATURED IMAGE: ROTP

Baca lagi artikel lain mengenai Curran Ferns dan Melaka United:

Melaka United Jadi Pasukan Pertama Liga M Terima Hukuman FIFA

Curran Ferns: Satiananthan Antara Jurulatih Terbaik Di Malaysia

Adakah Melaka United Akan ‘Tewas’ Sebelum Gelanggang Liga Super Dibuka?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN