Kejayaan menewaskan pasukan Pulau Pinang, 3-1 dalam saingan pusingan ketiga Piala FA jelas mengembirakan pengendali pasukan itu, Mehmet Durakovic yang menyimpan hasrat untuk menjulang sekurang-kurangnya satu trofi musim ini.
Namun begitu, Mehmet menyifatkan Perak perlu konsisten mengekalkan aksi cemerlang untuk mara lebih jauh dalam saingan Piala FA.
Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian, mengharapkan agar para pemainnya memanfaatkan setiap peluang keemasan untuk menjaminkan kejayaan.
“Kita sebenarnya sudah bagai satu keluarga dan kita juga bermain sebagai satu keluarga.
“Kita tak ada pemain ‘bintang,’ cuma pemain muda yang yang bagus dan mereka inilah pemain masa depan Perak,” katanya.
Dalam perlawanan itu, gol pertama Perak dijaringkan Wander Luiz pada minit ke-18 selepas mendapat bola lambung yang dirembat terus ke dalam gawang Pulau Pinang.
Pulau Pinang terus berduka apabila Perak dihadiahkan sepakan penalti selepas kapten Pulau Pinang, Ugochukwu Ukah menjatuhkan Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri dan dilayangkan kad kuning.
Pemain import Perak, Gilmar Jose memanfaatkan peluang apabila mencatat nama sebagai penjaring gol Perak pada minit ke-75 sekali gus meresahkan Pulau Pinang.
Perak terus menambah luka Pulau Pinang apabila Wander Luiz menjaringkan gol ketiga pada minit ke-78 sekali gus mengesahkan tiket ke suku akhir buat The Bos Gaurus.
Pulau Pinang bagaimanapun berjaya menjaringkan gol sagu hati menerusi Ukah pada minit ke-89.
Mehmet ternyata berpuas hati kerana semua pemainnya telah mengikuti percaturan taktikal yang dirancang untuk menjamin kemenangan.
“Saya sangat berpuas hati, pemain telah beraksi dengan cukup baik. Fantastik!
“Namun kemenangan kita bukannya mudah. Pulau Pinang adalah pasukan yang baik,” katanya.