3 mata penuh menjadi sasaran Skuad Perak The Bos Gaurus apabila dijadualkan melayan kunjungan Melaka United untuk aksi Liga Super di Stadium Perak malam ini.
Pengendali skuad itu, Mehmet Durakovic berkata kepada Berita Harian menuntut anak buahnya mengulangi aksi bertenaga seperti minggu lepas untuk mengelakkan tercicir mata.
Perak setakat ini masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam lima perlawanan terakhir.
“Saya berharap pemain mampu mengulangi persembahan seperti dalam lima perlawanan kami itu. Mereka mempamer persembahan tersusun dan kemas dan semakin mendapat rentak.
“Saya berpuas hati dengan persembahan mereka setakat ini,” katanya.
Pada masa sama, jurulatih itu juga sedar perubahan dalam pasukan lawan yang mengambil tindakan drastik menggantikan jurulatih Eduardo Almeida dengan E Elavarasan.
“Elavarasan juga bukan calang-calang jurulatih. Dia memiliki pengalaman luas dan sudah pasti akan menurunkan segala ilmu untuk mencapai misinya menyelamatkan pasukan.
“Jadi, kami tidak boleh pandang mudah pertemuan ini biarpun menang dalam perlawanan di Stadium Hang Jebat pada 2 Mei lalu dengan kemenangan 2-1.
“Kami melakukan kesilapan besar jika memandang mudah perlawanan ini. Saya berharap pemain tumpukan perhatian terhadap tugasan.
“Belum masanya untuk meraikan kejayaan kerana kami belum menang apa-apa. Malah perjalanan masih jauh. Cuma saya berharap pemain mengulangi persembahan seperti ketika menentang Terengganu, Ahad lalu,” jelasnya.