Skuad The Bos Gaurus terkulai layu di gelanggang sendiri apabila tewas 2-3 kepada Melaka United sekaligus meleburkan hasrat untuk mencipta kemenangan yang keempat dalam saingan Liga Super musim ini.
Bagaimanapun, pengendali skuad itu, Mehmet Durakovic tetap berpuas hati dengan prestasi pemainnya yang sudah memberikan segala-galanya namun tuah jelas memihak kepada pasukan lawan.
“Apa boleh saya katakan? Kecewa? Sudah tentu! Kami mencipta banyak peluang tetapi gagal menjaringkan gol untuk menang di laman sendiri dan mencuri peluang mendaki carta Liga Super.
“Apapun, pemain saya telah memberikan 100 peratus dalam perlawanan ini. Saya tidak boleh meminta lebih daripada itu. Ini adalah bola sepak dan kami perlu menerimanya,” katanya selepas tamat perlawanan.
Durakovic turut menyifatkan kesilapan individu yang sering dilakukan oleh anak buahnya merupakan punca utama mereka gagal mengutip tiga mata penuh.
Beliau berharap tempoh rehat tiga minggu sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri digunakan sebaik mungkin untuk memulihkan semula tahap kecergasan.
“Benar kami buat banyak kesilapan individu yang menyebabkan kami dibolosi tiga gol. Kesilapan-kesilapan itulah yang menghukum kami tapi saya tidak akan menyalahkan sesiapa. Kami menang sebagai satu pasukan dan kalah sebagai satu pasukan.
“Saya harap kami dapat lupakan kekalahan ini pada rehat panjang selepas ini dan fokus kepada rehat yang cukup dan proses pemulihan selepas melalui jadual yang padat.
“Diharapkan, kami dapat bangkit semula pada pertemuan dengan PJ City FC selepas cuti rehat nanti,” katanya seperti dipetik dalam Sinar Harian.