Ketua jurulatih Perak, Mehmed Durakovic nyata berpuas hati dengan persembahan anak buahnya ketika menentang Sabah pada aksi sulung Piala Malaysia 2019, malam tadi.
Aksi di Stadium Perak, Ipoh semalam menyaksikan Brendan Gan meledakkan jaringan pada minit ke-45 dan dua awang import dari Brazil, Raianderson Da Costa Morais (Careca) dan Leandro Dos Santos melengkapkan kemenangan 3-0.
Menurut sumber Stadium Astro, pengendali dari Australia itu juga melihat kemenangan yang diraih memberi petanda positif bahawa anak buahnya sudah dapat melupakan kekecewaan yang menyelubungi pasukan tempoh hari.
“Mereka (para pemain Perak) telah menunjukkan semangat juang tinggi serta permainan yang berkualiti.”
“Jelas mereka tidak lagi dibayangi kekecewaan kekalahan itu. Keadaan ini merupakan satu petanda yang baik buat pasukan.”
“Nampaknya pemain sudah bersedia untuk mengharungi kempen Piala Malaysia ini,” ujar Mehmed Durakovic bercakap pada sidang media selepas perlawanan.
“Setiap pemain memberikan sumbangan dan komitmen tinggi untuk menghasilkan kejayaan ini. Kami patut boleh menang dengan jurang lebih besar jika berjaya menyempurnakan beberapa peluang.”
””Bagi saya, kemenangan dengan tiga gol sudah mencukupi.”
Aksi seterusnya dalam saingan Kumpulan C menyaksikan Perak akan berkunjung ke Stadium Darul Makmur pada Khamis ini untuk pertemuan menentang Pahang.
Kredit foto: Perak TBG