Ketua jurulatih Perak, Mehmed Durakovic mengakui gembira dengan persembahan yang dipamerkan anak buahnya dalam mencatatkan kemenangan sulung 1-0 menewaskan Petaling Jaya City FC di Stadium Perak, Ipoh malam tadi.
Ia umpama penantian panjang buat Mehmed dan anak buahnya apabila mereka terpaksa menanti hingga perlawanan kelima saingan unifi Liga Super Malaysia 2019.
Perak tewas 0-1 pada perlawanan pembukaan di Larkin ketika bertemu Johor Darul Ta’zim manakala mencatatkan tiga keputusan seri 1-1 menentang Kedah, Felda United dan Terengganu FC.
Bagi Mehmed, beliau gembira dengan kejayaan yang diraih hasil jaringan sepakan penalti Wander Luiz Bitencourt Junior tatkala Perak beraksi tanpa beberapa tonggak utama seperti Gilmar Jose Da Silva Filho, Amirul Azhan Aznan, Nasir Basharuddin dan Brendan Gan.
Brendan Gan terpaksa diketepikan sejak perlawanan pusingan ketiga kelayakan Liga Juara-Juara Asia di Korea Selatan, Amirul Azhan pula mula direhatkan Mehmed pada aksi bertemu Terengganu FC manakala Gilmar terlepas aksi malam tadi.
Ketua pasukan, Nasir Basharuddin juga masih belum berpeluang membuat penampilan pada musim ini ekoran baru sahaja kembali dari kecederaan.
”Sama seperti perlawanan minggu lalu, kami mencipta begitu banyak peluang dan bola tidak menemui sasaran jaringan. Di akhirnya kami mencatatkan keputusan seri.”
”Saya gembira dengan para pemain saya, malam ini (semalam) kami kehilangan empat hingga lima orang, tetapi tiga mata adalah tiga mata dan menang di laman sendiri.”
”Kami sudah ‘move on’ dan merupakan persembahan yang baik dipamerkan.”
Seperti kebiasaan, Mehmed pasti akan memberikan pujian buat pasukan lawan yang telah memberikan kesukaran buat Perak.
”Kami perlu menjaringkan lebih banyak gol, satu gol tidak mencukupi. Kami mencipta peluang tetapi tidak berjaya menambah jaringan.”
”Ia peluang yang mudah buat kami, PJ (City FC) merupakan pasukan yang bagus, bertahan dengan baik. Memberikan kesukaran buat kami tetapi kami lebih baik berbanding mereka.”
Kredit foto: Perak TBG