Media Vietnam Sudah Ramal Skuad Maloney Akan Kalah Longlai Menentang Thailand

Skuad Bawah-23 (B-23) negara akan turun berhadapan Thailand dalam perlawanan pertama Kumpulan B temasya Sukan SEA pada jam 8 malam ini.

Daripada 24 pertemuan di Sukan SEA di antara kedua-dua pasukan, Thailand boleh bermegah dengan 12 kemenangan yang direkodkan oleh pasukan itu.

Baki 12 pertemuan pula memperlihatkan lima perlawanan berakhir dengan keputusan seri, dan tujuh lagi perlawanan memihak kepada Malaysia.

Dan di dalam semua 24 perlawanan tersebut, Thailand menjaringkan 38 gol, manakala Malaysia hanya berjaya membocori gawang Thailand sebanyak 30 kali.

Secara keseluruhan, Thailand telah memenangi emas sebanyak 17 kali. Manakala pasukan negara pula pernah meraih pingat yang sama sebanyak 6 kali sahaja.

Maloney tetap positif

Berdasarkan rekod lampau, pasukan negara kendalian Brad Maloney sememangnya bakal melalui ranjau berduri dalam perlawanan menentang Thailand pada malam ini.

Namun setakat ini nada daripada kem negara agak positif.

“Saya rasa ini kelompok pemain yang baik dan petunjuk positif dapat disaksikan sepanjang sesi latihan dan juga dalam dua aksi persahabatan sebelum ini.

“Kalau semuanya mengikut perancangan, saya optimis kita akan menjadi lebih kompetitif,” kata Maloney menerusi Berita Harian sebelum ini.

Perkara sama turut dilaungkan pemain tengah, Mukhairi Ajmal menjelang perlawanan menentang Thailand, dan barisan pemain menaruh kepercayaan penuh kepada sentuhan Brad Maloney untuk menumbangkan skuad Gajah Perang pada malam ini.

Skuad Maloney tiada peluang

Di sebalik keyakinan dan aura positif di dalam kem negara, media Vietnam, The Thao berpendapat pasukan negara tidak akan mempunyai peluang untuk menang menentang Thailand.

Menurut artikel tersebut, beberapa kelemahan melibatkan pasukan Malaysia akan membuatkan Thailand meneruskan rekod cemerlang menentang Malaysia.

Berdasarkan pemerhatian The Thao, Brad Maloney gagal mendapatkan khidmat pemain terbaik yang dikehendakinya kerana keengganan kelab di Liga Malaysia melepaskan pemain tertentu untuk temasya  kali ini.

Laporan tersebut turut memetik artikel daripada akhbar nasional New Strait Times yang berkata persiapan pasukan negara untuk Sukan SEA pada kali ini tidak berada di tahap terbaik. Ini kerana rata-rata pemain yang dibawa ke Hanoi tidak menjalani latihan yang mencukupi bersama pasukan.

Turut menyebabkan The Thao tidak yakin dengan kemampuan pasukan Malaysia adalah kerana kekalahan 2-1 kepada Timor Leste dalam perlawanan persahabatan sebelum ini.

Walaupun menang 2-0 ke atas Filipina selepas itu, persembahan anak buah Maloney dikhabarkan kurang meyakinkan.

Sebenarnya agak aneh bagaimana The Thao boleh membuat kesimpulan sedemikian rupa memandangkan perlawanan menentang Filipina di Stadium UiTM tempoh hari diadakan secara tertutup.

Keputusan Maloney untuk tidak menggunakan kuota tiga pemain senior untuk Sukan SEA kali ini turut menjadi salah satu sebab mengapa The Thao amat yakin Thailand akan menang mudah pada malam ini.

Laporan The Thao turut menyimpulkan Brad Maloney berkemungkinan tidak mementingkan keputusan dan pencapaian di Sukan SEA kali ini kerana temasya ini sebenarnya adalah medan untuk jurulatih dari Australia itu menyediakan sebuah pasukan yang lebih mantap untuk Kejohanan AFC B-23 yang akan berlangsung di Uzbekistan pada Jun.

Usah gentar

Apa pun ramalan oleh media luar, kita harapkan barisan pemain kendalian Brad Maloney boleh kekal fokus untuk memberikan aksi terbaik di dalam padang – sekali gus menumpaskan skuad Gajah Perang pada malam ini.

Sebenarnya kedua-dua pasukan amat mengenali satu sama lain. Dalam perlawanan kelayakan Piala AFC B-23 di Mongolia pada Oktober tahun lalu, kedua-dua pasukan terikat 0-0.

Selepas bertemu Thailand, Malaysia dijadual menentang Laos pada 11 Mei, Singapura (14 Mei) dan Kemboja 16 Mei di venue sama dalam memburu dua slot terbaik ke peringkat separuh akhir.

Sumber:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN