Media Indonesia menyifatkan pertahanan warisan baharu mereka iaitu Jay Idzes sebenarnya layak untuk beraksi di Eropah bersama kelab-kelab lebih besar seperti Manchester United.
Ianya dikeluarkan sendiri oleh Bola.com dengan menyatakan Jay sebenarnya mampu beraksi untuk kelab terkemuka selepas kualiti ditampilkan beliau pada aksi lalu bertemu Vietnam.
Pada perlawanan tersebut, Jay buat pertama kalinya mencipta penampilan sulung bersama Indonesia selepas beliau sah didaftarkan selaku warganegara tersebut untuk beraksi di posisi pertahanan.
Aksinya itu jelas memberikan impak cukup besar buat Sang Garuda sehingga mereka meraih tiga mata pertama bagi siri Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di peringkat kumpulan.
Jay menjadi antara rekrut baharu untuk kategori pemain warisan bawah kendalian Shin Tae-yong serta posisinya itu pada malam tersebut sangat penting kerana beliau menggantikan kekosongan ditinggalkan oleh Jordi Amat serta Elkan Baggott atas isu kecederaan.
Digandingkan bersama Nathan Tjoe-A-On di posisi pertahanan tengah, jelas Vietnam mengalami cukup kesukaran untuk menembusi benteng kebal Sang Garuda atau membuat sebarang percubaan tepat.
Daripada segi kualiti individu, ada beberapa kali Jay berjaya memberikan rasa kagum buat para penyokong di stadium kerana ketenangannya untuk mengawal bola serta kreatif membuat hantaran.
Disebabkan itu media di sana menyifatkan Jay sebenarnya memiliki kualiti cukup baik untuk melayakkan diri beliau beraksi bersama kelab-kelab terkemuka di Eropah termasuk The Red Devils.
Karier semasa Jay menyaksikan beliau pernah beraksi bersama beberapa kelab di Eropah seperti FC Eindhoven, Go Ahead Eagles, dan kini mewakili Venezia dalam saingn Serie B di Itali.
“Andai sahaja Jay menyarung jersi Manchester United, pastinya ia bakal menjadi lonjakan baharu buat karier beliau dalam dunia bola sepak profesional,” tulis Bola.com.
Pada masa sama, mereka turut melihat United sebagai pasukan cukup bermasalah musim ini di posisi pertahanan walaupun dibarisi ramai pemain bintang dunia.
“Saat ini barisan belakang United boleh dikatakan cukup rapuh dan menjadi perhatian ramai walaupun mempunyai para pemain seperti Raphael Varane, Harry Maguire, sehingga Victor Lindelof.
“Rapuhnya posisi pertahanan United kini turut disebabkan isu kecederaan yang melanda pemain utama mereka seperti Lisandro Martinez, Luke Shaw, serta Tyrell Malacia,” ulas laman tersebut.