Bintang Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe mengakui kelab gergasi bola sepak Perancis itu perlu untuk mendapatkan pemain baharu yang betul sekiranya mahu merealiasikan impian menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL).
PSG yang berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir edisi 2019/20 di Lisbon terpaksa menelan kepahitan apabila tunduk 0-1 pada pertemuan menentang Bayern Munich.
Lebih memeritkan buat skuad bimbingan Thomas Tuchel itu, Kingsley Coman yang merupakan bekas pemain akademi PSG menjadi wira Bayern susulan jaringan kemenangan menerusi tandukan dihasilkannya pada minit ke-59.
Sehubungan dengan itu, Mbappe melihat PSG perlu mengambil langkah bijak dalam memperkuatkan pasukan dalam usaha untuk muncul juara saingan paling berprestij di Eropah itu buat pertama kali.
Bagi menghadapi kempen 2020/21, pada ketika ini PSG hanya membawa masuk Mauro Icardi dan Sergio Rico secara tetap selepas kedua-dua pemain bersama pasukan tersebut secara pinjaman. Manakala pemain-pemain seperti Edinson Cavani, Thiago Silva, Eric Choupo-Moting dan Thomas Meunier sudah pun meninggalkan pasukan.
”Sudah pasti saya begitu optimis bahawa kami mampu untuk memenangi Liga Juara-Juara Eropah,” ujar Mbappe menurut laporan Goal.
”Kami harus [menjuarai UCL], sekiranya kami tidak mempercayainya, tiada seorang pun yang akan mempercayainya buat kami.”
”Ini merupakan bola sepak. Banyak pasukan yang tewas pada perlawanan akhir dan musim berikutnya muncul juara. Jelas sekali, PSG semakin berkembang dengan layak ke final.”
”Sebelum ini, kami seringkali tersingkir di suku akhir dan kini kami telah berjaya melepasinya.”
”Anda perlu untuk merekrut pemain dengan baik, anda perlu untuk membeli pemain. Saya berharap mereka dapat melakukan rekrut yang baik dan kami dapat memulakan kembali musim dengan sasaran untuk melakukan dengan lebih baik.”
Kredit featured image: Matt Childs/Pool via Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Kylian Mbappe: