Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari telah pun mengeluarkan kenyataan pihak mereka tidak akan menggunakan sebarang bom untuk merobohkan Stadium Shah Alam (SSA).
Stadium Shah Alam boleh dianggap lokasi yang sarat dengan sejarah bola sepak dalam dan luar negara sebelum ini sebelum ianya terbiar begitu sahaja tanpa sebarang penjagaan.
Malah, beberapa kerosakan juga sudah pun berlaku selain permukaan padang semakin teruk yang dianggap menelan kos sangat tinggi untuk kembali diperbaiki.
Walaupun begitu, lokasi tersebut bakal diberi nafas baharu dengan pembangunan semula bakal dibuat serta mampu menjadi tarikan kepada orang ramai selepas ini.
Projek yang diberi nama Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) itu bakal dibina sebaik sahaja proses merobohkan stadium bersejarah itu selesai tidak lama lagi.
Walaupun begitu, timbul beberapa persoalan jika SSA bakal dirobohkan dengan menggunakan peledak atau bom untuk menyelesaikannya dalam kalangan pengguna media sosial.
Namun, Amirudin tampil memberi kenyataan mereka tidak akan menggunakan bom untuk merobohkan stadium tersebut atas faktor kesan-kesan negatif buat kejiranan di kawasan itu.
“Ya akan berlaku (merobohkan). Saya akan pastikan segera tetapi kita tidak boleh menggunakan peledak atau bom sebab ia akan memberikan kesan kepada kejiranan di kawasan itu (Seksyen 13).
“Kita akan membuat secara manual dengan menggunakan mesin yang akan mengambil masa panjang sedikit.
“Kerja merobohkan itu akan bermula selepas kita berjaya mengalihkan sub stesen TNB itu kerana ia penting untuk Seksyen 13,” katanya menerusi laporan dikeluarkan sendiri oleh Berita Harian.
Pada masa sama, Amirudin juga sedang berusaha untuk menyelesaikan isu sub stesen TNB kerana mereka membekalkan saluran tenaga elektrik bagi kawasan Seksyen 13.
Ini kerana, ia akan memberi kesan kepada para penduduk di Seksyen 13 seperti mereka perlu bergelap jika tidak diselesaikan dengan sebaik mungkin.
“Sekarang kita sedang ubah alirannya, kalau tidak seluruh Seksyen 13 akan bergelap. Jadi, kita ambil pertimbangan ini dahulu tambahan kelulusan sudah diberikan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
“Sekarang sedang ‘deal’ dengan TNB untuk alihkannya. Kalau buat (sub stesen) baharu, akan ambil masa lagi setahun, baru boleh robohkan stadium, jadi kita alihkan dulu,” katanya akhir sekali.