Satu mayat boleh dilihat dengan jelas di celah timbunan serpihan yang masih terletak di dasar laut, dipercayai pesawat malang yang membawa Emliano Sala dan juruterbang David Ibbotson.
Pasukan mencari dan menyelamat yang dibiayai sendiri pada Ahad lalu menemui pesawat jenis Piper Malibu di dasar laut, selepas dua minggu ianya dilaporkan hilang.
Pasukan Penyiasat Kemalangan Udara (AAIB) mengesahkan pemenuan tersebut semalam.
Pasukan mencari dan menyelamat pada ketika ini sedang merancang bagaimana untuk membawa naik pesawat yang berada 67 meter di bawah paras laut itu.
Demi keluarga
David Mearns yang menemui bangkai pesawat itu menyifatkan ia amat penting supaya pesawat itu dibawa naik ke permukaan secepat mungkin.
“Keluarga kepada mangsa akan mendapat jawapan yang mereka cari jika ianya dibawa naik,” ujar beliau yang juga seorang pencari bangkai kapal.
Sambil menyifatkan penemuan tersebut sebagai perkara terakhir keluarga mangsa inginkan, Mearns berkata: “Ia pasti mengambil masa untuk mereka [keluarga mangsa] menerima hakikat kehilangan ini.”
Pesawat yang membawa pemain bola sepak dari Argentina Sala, 28 tahun dan Ibbotson, 59 tahun sedang dalam penerbangan dari Nantes untuk ke Cardiff selepas Sala melengkapkan perpindahan bernilai £15 juta bersama Cardiff City.
Operasi mencari dan menyelamat
Fokus dan rancangan seterusnya oleh AAIB ialah untuk membawa naik pesawat malang itu ke permukaan, untuk membenarkan siasatan kepada punca kejadian dilakukan – selain daripada untuk membawa keluar mayat yang terperangkap.
Operasi dijangka akan dilakukan di kedalaman yang lebih rendah, dan pasukan mencari dan menyelamat harus bergantung kepada keadaan air pasang sebelum memulakan operasi.
Operasi membawa naik pesawat tersebut dijangka akan memakan masa beberapa hari.