Quantcast

BERITA

Aidil Beri Jaminan Hanya Pemain Pamer Kesungguhan Barisi Kesebelasan Utama Lang Merah

Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak jelas berpuas hati dengan komitmen pemain dan keputusan yang telah diraih oleh pasukannya ketika menentang PKNP FC pada Sabtu lalu.

Kedah menang 2-0 ke atas semifinalis Piala FA 2018 itu di Stadium MP Manjung dalam perlawanan sulung unifi Liga Super 2019. Gol Kedah disumbang oleh Shakir Hamzah dan Jonathan Bauman.

Bercakap kepada Media KFA sejurus kemenangan tersebut, Aidil turut menyatakan yang semua aksi di gelanggang lawan tidak mudah malah PKNP juga adalah pasukan yang sukar.

Kedah

Foto: KEDAH FA

“Alhamdulillah. Permainan hari ini bukan mudah. Kita tahu PKNP adalah pasukan yang sangat cergas dan cukup komitmen.

“Kredit kepada para pemain walaupun permainan kita tidaklah baik pada hari ini tetapi yang paling penting adalah pemain berjuang 90 minit dan kita tidak bertahan walaupun di depan 1-0,” ujarnya.

Aidil turut menggariskan yang jika Helang Merah bertahan selepas meraih gol pertama tersebut, kemungkinan ia akan memakan diri.

“Kita tahu, kalau kita bertahan, pemain seperti nombor 18, yang tinggi itu, akan membahayakan kita kalau kita duduk terlalu ke bawah,” ulasnya lagi mengenai situasi tersebut.

Pemain yang dimaksudkan adalah Kalidou Yero, penyerang baharu PKNP FC yang berasal daripada Senegal yang telah mempamerkan satu aksi yang baik walaupun gagal menemui sentuhan penyudah.

“Tiada kesebelasan utama dalam pasukan saya,” tegas Aidil kepada Media KFA mengenai siapa pemain utama dalam senarainya.

“Besok kalau ada pemain yang berlatih dengan baik berbanding pemain yang beraksi hari ini, dia pula yang akan bermain. Kerana kita mahukan persaingan (merebut tempat),” tambahnya lagi.

Jonathan Bauman

Foto: KFA

Sementara itu, peledak gol kedua Kedah, Jonathan Bauman menyatakan yang dia sangat gembira apabila jaringan yang dihasilkannya telah membantu kemenangan pasukan.

“Ya, ini bukanlah perlawanan yang mudah buat kedua-dua pasukan,” ujarnya kepada Media KFA selepas perlawanan.

“Tetapi di babak kedua kita berhasil menjaringkan gol dan mula bermain dengan lebih baik. Saya rasa saya ada 3 atau 4 peluang untuk jaringkan gol,” katanya lagi.

Kedah sekali lagi akan beraksi di tempat lawan apabila dijadualkan turun menentang Perak di Stadium Perak, Ipoh pada Jumaat ini.

Untuk rekod, dalam aksi pra musim tempohari, Kedah berjaya menewaskan Perak dengan keputusan 2-0 di Darul Aman hasil jaringan Fernando Rodriguez dan Syahrul Azwari Ibrahim.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!