Jerman mungkin gagal meninggalkan impak di Piala Dunia 2018 yang lalu. Tetapi tidak ada siapa yang boleh menafikan negara ini telah berjaya melahirkan ramai pemain generasi baru untuk terus mara ke hadapan selepas ini.
Leroy Sane, Julian Brandt dan Timo Werner adalah antara nama yang bakal mengemudi Jerman satu hari nanti. Begitu juga harapan yang pernah diberikan kepada Max Meyer.
Max Meyer pernah dicanang sebagai salah seorang prospek hangat di Jerman.
Namun tatkala setiap pasukan di eropah sedang giat melakukan latihan pra musim, nama Meyer hangat diperkatakan pada minggi ini selepas mendapati dirinya seorang ejen bebas yang masih belum diikat oleh mana-mana pasukan.
Dari No.10 klasik, kepada No.6
Meyer adalah salah seorang pemain utama Schalke untuk lima musim sebelum ini.
Pada musim lalu, Meyer membantu Schalke menamatkan musim Bundesliga di belakang juara Bayern Munich, dan merupakan salah sebuah pasukan yang mara ke separuh akhir Piala DFB-Pokal.
Data OPTA yang diperolehi dari WhoScored turut menjelaskan bahawa Meyer memiliki purata tertinggi hantaran yang berjaya dilakukan pada musim lalu.
89.1% hantaran dari 24 penampilan di Bundesliga membuktikan Meyer memainkan peranan penting untuk pencapaian Schalke pada musim lalu.
Menurut seorang wartawan Sky Sport Jerman dikenali sebagai Max Bielefeld pengurus pasukan, Domenico Tedesco adalah individu yang bertanggungjawab di sebalik peningkatan prestasi Meyer di Schalke.
Sepanjang kariernya, Meyer beraksi di posisi No.10, namun Tedesco memberikan peranan untuk Meyer beraksi lebih ke bawah di jentera tengah pasukan.
Untuk itu, Meyer terhutang budi buat pengendali baharu Schalke itu. Di bawah kendalian Tedesco, Meyer beraksi sebagai pemain No.6 atau No.8 untuk melakukan tugas bertahan di bahagian tengah.
Alasan Tedesco mudah. Meyer sebenarnya adalah seorang pemian No.10 klasik. Pemain ini mempunyai kebolehan melakukan hantaran akhir yang menarik, namun sering kali bergelut dengan kepantasan.
Meyer juga bukan pemain yang memiliki watak kepimpinan di atas padang. Kerana itulah ketika semua perancangan pasukan menjadi, Meyer mampu menyerlah di posisi No.10 dan akan seperti hilang dari perlawanan ketika pasukan memerlukan seorang jeneral dan pemimpin di atas padang.
Untuk menyelesaikan masalah itu, Tedesco mengubah posisi Meyer kepada pemain No.6, beraksi dihadapan pemain pertahanan. Kerana kebolehan beliau melakukan hantaran, Meyer mulai menyerlah sebagai pemain tengah bertahan dengan hantaran-hantaran pivot untuk membuka perlawanan.
Walaupun jarang menghasilkan gol dari posisi ini, Tedesco berjaya mengubah posisi Meyer untuk membentuk bahagian tengah yang mantap. Apatah lagi dengan corak permainan agresif yang dimiliki oleh Meyer kerana kerap beraksi sebagai pemain No.10 sebelum ini.
Kritikan memakan diri
Walaupun mulai menyerlah di bawah kendalian Tedesco, hubungan Meyer dengan kelabnya Schalke mulai berubah menjelang April selepas kritikan dilontarkan oleh Meyer kepada Pengarah Sukan kelab, Christian Heidel.
Bercakap kepada Bild, Meyer dipetik sebagai berkata:
“Saya enggan terus kekal bersama Schalke dan bekerja di bawah Heidel. Semakin hari, saya merasakan seolah saya dibuli.”
Meyer menanggung akibat kritikan terbukanya selepas itu apabila disingkirkan dari menyertai latihan sehingga tamat musim.
Tedesco yang keliru dengan kemelut yang berlaku hanya mampu berkata:
“Selama ini saya menjangkakan Max [Meyer] merasakan ianya seperti rumah ketika bersama Schalke. Itulah yang beliau katakan kepada staff kejurulatihan.”
“Sudah tentu saya kecewa dengan serangan-serangan peribadi membabitkan kedua-dua pihak dan tidak memahami mengapa ia harus berlaku.”
Akibatnya masa Meyer bersama Schalke dibiarkan tamat begitu sahaja sehingga kontraknya tamat pada musim panas ini.
Ini bermakna pada hari ini Meyer adalah seorang ejen bebas. Walaupun pernah dikenali sebagai salah seorang prospek hangat di pasaran eropah, belum ada pasukan yang cuba merisik pemain ini.
Masalah sikap?
Menurut seorang lagi wartawan sukan, Grosse Schlarmann yang berpengkalan di Jerman, Meyer mempunyai masalah untuk melakukan penilaian akibat daripada mereka yang berada di sekelilingnya.
“Meyer memiliki satu masalah utama. Cara beliau menilai diri dan situasi adalah salah.”
“Semua mereka yang berada di sekeliling Meyer termasuk ejen, Roger Wittmann, keluarga, jurulatih pasukan akademi meyakinkan beliau sebagai salah sorang prospek terbesar di bola sepak Jerman.”
“Ada yang menggelarkan beliau ‘Messi Jerman’, dan selepas beberapa ketika anda pasti akan mempercayainya.”
Menurut Schlarmann lagi, Meyes menuntur agar kelab menghormati beliau sebagaimana bekas pemain seperti Leon Goretzka, Klaas-Jan Huntelaar, Sane.
Sudah tentu ini juga bermakna Meyes mahukan lebih suara di dalam pasukan, serta bayaran yang lebih banyak. Namun pihak kelab tidak melayan tuntutan Meyer.
Malah ejen beliau sendiri meyakinkan Meyer sepatutnya dibayar sekitar £7.5 juta setahun selain yakin pemain ini mampu beraksi bersama kelab-kelab utama di Eropah.
Namun kini kem Meyer sedar bahawa kelab-kelab utama dunia mungkin tidak mempunyai pendapat yang sama. Apatah lagi dengan apa yang berlaku di Schalke.
Apa seterusnya untuk Meyer?
Sebelum ini terdapat laporan mengatakan Arsenal, Liverpool dan Tottenham pernah tampil menunjukkan minat untuk mendapatkan Meyer.
Perancis dan Turki juga adalah antara pilihan untuk Meyer memulihkan karier beliau, namun ejen kepada Meyer dikatakan memberi keutamaan untuk perpindahan ke Liga Perdana Inggeris (EPL).
Marseille turut pernah dikatakan melakukan rundingan, namun membatalkan niat untuk membawa Meyer selepas tuntutan gaji yang tinggi dari pemain itu.
Penutup
Jika Max Meyer memiliki lebih banyak kesabaran, kisahnya mungkin berbeza pada hari ini.
Daripada tergantung tanpa kelab seperti hari ini, pemain yang baru menjangkau usia 22 tahun itu sekurang-kurangnya masih boleh mengasah kemampuannya bersama Tedesco di Schalke.
Hubungan beliau bersama Schalke kini sudah musnah. Pada usia yang muda sebegini, masa hadapan Meyer hanya berada di tangan beliau sendiri untuk menentukan hala tuju dirinya.
Kerana kejayaan tidak pernah jatuh bergolek tanpa sebarang usaha keras dan sifat rendah diri walau betapa berbakat pun diri anda.