Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri mengulas mengenai peluang pasukannya untuk memenangi kejuaraan liga pada musim ini.
Sarri berkata pasukannya hanya boleh menjadi juara jika mereka dapat memperkukuhkan bahagian pertahanan dengan baik.
Pengurus kelahiran Itali itu memulakan kempen cemerlang pada penampilan sulungnya bersama pasukan Chelsea.
Sehingga kini, Chelsea masih mengekalkan rekod tanpa sebarang kekalahan dalam 10 perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL).
Keputusan positif tersebut membuatkan The Blues kini mengutip 24 mata dengan mengekori rapat persaing mereka, Manchester City dan Liverpool dan pasukan itu diramal mampu menjadi calon juara pada musim 2018/19
Walaubagaimanapun, Sarri enggan mendabik dada dengan reputasi cemerlang pasukannya ketika ini.
Sebaliknya beliau mengakui untuk menjadi juara pada musim ini bukan perkara yang mudah jika pasukannya masih gagal memperkuatkan bahagian pertahanan pasukan.
Bercakap menerusi ESPN, Sarri sebagai berkata, “keadaan pasukan Chelsea sangat berbahaya.”
“Kami mampu bertahan dengan baik di Burnley, namun tiga hari kemudian (menentang Derby di Piala Carabao) kami tidak dapat mempertahankannya dengan cara yang sama.”
“Adalah berbahaya untuk tidak mempunyai kesinambungan, kita perlu memperbaiki kesinambungan itu.”
Tegas Sarri lagi, “Saya merasakan pasukan ini mengalami permasalahan yang sama.”
“Sekiranya anda melihat kedudukan teratas liga, City dan Liverpool hanya dibolosi 5 dan 3 jaringan gol setakat ini.”
“Jadi saya fikirkan untuk menjadi pasukan yang mampu berdaya saing, kita perlu bermain dengan kestabilan.”
“Saya fikirkan yang kita perlu memperbaiki diri dari segi corak permainan, meletakkan tekanan pada pasukan lawan.”
Tambah Sarri lagi, “Kadang-kadang kita sering berada dalam kedudukan yang salah, jadi kita menghadapi kesukaran untuk menyekat kemaraan bola dan jika tidak terlalu penting, kita tidak perlu memberi ruang bagi lawan-lawan untuk membalas serangan.”
Menghadapi Crystal Palace
Skuad kendalian Maurizio Sarri dijangka akan berdepan tugas sukar apabila mereka bakal berhadapan Crystal Palace bagi perlawanan minggu ke-11 saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) sebentar lagi jam 12 malam waktu Malaysia.
Chelsea dalam misi memburu tiga mata berharga bagi mengukuhkan kedudukan mereka pasti tidak akan memandang mudah pertemuan tersebut.
Crystal Palace are headed for the Bridge on Sunday! 👊 pic.twitter.com/Kkmpxai0da
— Chelsea FC (@ChelseaFC) November 2, 2018
Biarpun rekod pertemuan bagi kedua-dua pasukan sebelum ini memihak kepada Chelsea, Sarri tidak mahu pemainnya terlalu optimis untuk meraih kemenangan dalam perlawanan tersebut.
Tidak hanya itu, Sarri turut mengingatkan agar semua pemainnya supaya tidak terlalu memandang rendah keupayaan Crystal Palace berdasarkan prestasi cemerlang mereka ditempat lawan dalam saingan liga ketika ini.
“Crystal Palace adalah pasukan berbahaya buat kami.” kata Sarri.
“Ini kerana mereka mempunyai ramai pemain yang memiliki kepantasan dan mereka sangat berbahaya apabila melakukan serangan balas.”