Baru beberapa hari melepaskan Cesc Fabregas ke AS Monaco, pengurus Chelsea, Maurizio Sarri sudah terasa kehilangan pemain tengah yang mencipta 111 bantuan jaringan dalam kancah Liga Perdana Inggeris itu.
Melihat kepada aksi Jorginho yang kelihatan bergelut untuk mencipta gerakan menarik pada perlawanan bertemu Newcastle, awal pagi tadi, Sarri mengakui beliau mahukan pengganti kepada Fabregas.
Chelsea bagaimanapun berjaya menundukkan skuad bimbingan Rafa Benitez itu dengan keputusan 2-1 hasil jaringan Pedro Rodriguez dan Willian.
Menurut sumber Sky Sports, Sarri jelas mahukan pengganti buat Fabregas bagi membarisi skuad Chelsea.
”Hari ini Jorginho berada dalam masalah dan di bangku simpanan tiada pemain untuk posisi tersebut, jadi saya memerlukan pemain di posisi itu. Saya perlukan pilihan untuk Jorginho.”
Ketika ditanya sama ada Chelsea akan membawa masuk pemain baharu yang diharapkannya, ini adalah jawapan ringkas Sarri kepada media, ”Saya tidak tahu.”
”Kelab ini (Chelsea) sangat mengetahui tentang pendapat saya. Saya memerlukan pemain, jadi ia bergantung kepada keputusan yang akan dibuat oleh kelab.”
Fabregas memilih untuk meninggalkan Chelsea selepas empat setengah tahun berbakti buat The Blues.