Maurizio Sarri: Genius Taktikal & Percaya Tahyul Yang Kini Menjadi Juara Eropah

Tuscany ialah sebuah rantau yang terletak di bahagian tengah Itali. Ibu negerinya, Florence adalah tempat tersimpannya pelbagai jenis artifak dan karya seni dari era Renaissance.

Dengan erti kata lain ia adalah pusat kelahiran ilmu, dan zaman Renaissance  juga merupakan zaman kelahiran semula kehidupan lampau, iaitu Yunani dan Rom dalam pelbagai bidang sains dan sastera.

Menariknya, mereka telah berjaya mencampuradukkan kejayaan klasik dalam aspek-aspek baru yang dikemukakan oleh mereka sendiri, meliputi aspek-aspek yang boleh dibuktikan, yang selaras dengan hukum alam dan juga dapat difahami oleh pengetahuan manusia.

Early Renaissance in the 14th century. (Photo by: Bildagentur-online/UIG via Getty Images)

Hukum bola sepak

Di satu sudut di salah sebuah pasar awam (pasar Figline Valdarno) di Tuscany, terletak sebuah kedai kopi dikenali sebagai Caffe Greco. Menariknya, kafe ini memiliki identiti Naples sejati- sebuah lagi wilayah Itali yang berada di selatan, dan terletak beribu-ribu batu dari Tuscany.

Kafe itu berlatarbelakangkan warna biru langit- warna rasmi kepada Napoli, dan turut terpampang wajah legenda yang pernah menjadi pujaan seluruh wilayah selatan, Diego Maradona satu ketika dahulu.

Dan di sebelahnya ialah deretan potret menghiasi seolah-olah diabadikan secara istimewa oleh pemilik kafe turut menarik perhatian: Maurizio Sarri.

Maurizio Sarri dikenali dengan identiti bola sepak dikenali sebagai ‘Sarri-Ball’. Di Itali ia seperti sebuah hukum. Ia seperti satu lagi hukum ilmu, yang mempunyai aturan dan formula luar biasa untuk menterjemahkan bola sepak dengan identiti berbeza.

Ia bukan satu kebetulan untuk Caffe Greco dihiasi dengan wajah Napoli dan Sarri. Satu ketika dahulu, tingkat atas kafe berkenaan ialah kediaman Sarri ketika zaman kanak-kanak.

Asal-usul

Sarri bukan anak kelahiran Tuscany. Sebaliknya beliau dilahirkan di Bagnoli, Naples sebelum mengikuti ayahnya, Amerigo ke wilayah tengah Itali itu untuk bekerja di kilang besi.

Seperti anak-anak lain di kejiranan Figline Valdarno, Sarri bermain bola sepak, namun tidak pernah bermain secara profesional. Ini mungkin disebabkan oleh kerana bola sepak bukan sukan utama yang diminati oleh Sarri.

Sarri berada di hadapan, kanan sekali ketika zaman kanak-kanak.

Ketika zaman kanak-kanak, Sarri lebih cenderung dengan sukan lumba basikal. Malah Sarri pernah mewakili pasukan tempatan, Pedale Figlinese, di mana ayah beliau sendiri bergelar pelumba profesional selama dua tahun sehingga bergelar juara Coppa Ciuffenna pada 1950.

Setelah gagal sesi bakat bersama Torino dan Fiorentina, Sarri bermain bola sepak amatur sebagai seorang pemain pertahanan tengah bersama Filegne.

Dari bank ke padang latihan

Selepas terpaksa meninggalkan bola sepak sebagai pemain lebih awal, Sarri bekerja sebagai pegawai bank bersama Monte dei Paschi di Siena (bank tertua dunia), dan tugasan tersebut memaksa beliau untuk mengembara ke seluruh eropah.

Beliau sukakan pekerjaannya itu, tetapi ia tidak pernah memunahkan kegilaan kepada bola sepak. Ini menyebabkan beliau memilih untuk menjadi jurulatih amatur untuk sentiasa berada di atas padang.

(Photo by Matteo Ciambelli/NurPhoto via Getty Images)

Tetapi Sarri juga mendakwa tugasan sebagai pegawai bank banyak membantu beliau sebagai jurulatih.

Bagi Sarri, pengalaman di bidang perbankan adalah nilai tambah yang membantu beliau membina organisasi dan cara membuat keputusan yang betul.

Karier kejurulatihan

Perjalanan karier kejurulatihan dan pengurusan Sarri mungkin tidak sama dengan apa yang dilalui oleh pengurus-pengurus lain seperti Arsene Wenger, Sir Alex Ferguson atau pun Carlo Ancelotti.

Tetapi Sarri mempunyai kisah dan perjalanan beliau tersendiri sepanjang bergelar jurulatih dan pengurus sepanjang tempoh 28 tahun ini.

Bermula secara amatur, kelab pertama yang dikendalikan oleh Sarri ialah U.S.D. Stia 1925 pada 1990, sebuah kelab yang beraksi di Seconda Categoria; juga merupakan divisyen ke-8 di dalam piramid bola sepak Itali.

Tahun berikutnya, Sarri membimbing U.S. Faellese, dan berjaya membawa pasukan amatur itu naik ke divisyen Promozione (divisyen 6).

Kejayaan awal ini terus menyaksikan Sarri mengendalikan lebih sedozen pasukan di Itali. Dari pasukan amatur, ke semi pro, sehinggalah ke pasukan profesional sepenuhnya.

(Photo by Gabriele Maltinti/Getty Images)

Antaranya ialah Pescara, Arezzo, Avellino, Hellas Verona, Perugia, Alessandria dan Sorrento, sebelum Sarri akhirnya dilantik oleh Empoli, sebuah kelab yang berpengkalan di Tuscany pada 2012.

Pada musim pertama, Sarri memacu kelab Serie B ini untuk menduduki tangga ke-4 liga, dan juga je perlawanan akhir play-off sebelum tewas kepada Livorno.

Musim kedua, Sarri sekali lagi memperagakan magis bersama Empoli, berjaya membawa pasukan Tuscan itu menduduki tangga ke-2 Serie B, untuk terus ke Serie A Itali tanpa melalui play-off pada musim berikutnya.

(Photo credit should read CARLO HERMANN/AFP/Getty Images)

Musim pertama di Serie A pada 2014/15, Empoli berjaya mengelakkan diri dari terus disingkir kembali ke Serie B, apabila berjaya menduduki tangga ke-15 liga.

Dari Empoli, akhirnya Sarri dilamar kelab bandar kelahirannya, Napoli untuk menggantikan Rafael Benitez pada Jun 2015.

Bagaimana dengan corak pengurusan awal milik Sarri? Diplomasi? Lupakan perkataan itu. Di awal pembabitan di dalam bidang pengurusan, Sarri dikenali sebagai seorang pengurus yang tegas.

Bekas pemain Cavliari dikenali sebagai Iauinese berkata, Sarri akan menyembur cat hitam kepada kasut but pemain yang memilih kasut berwarna warni.

Pengiktirafan Sarri-Ball

Hukum Hooke menyatakan bahawa pemanjangan suatu bahan kenyal adalah berkadar langsung dengan daya regangan yang bertindak jika had kenyal bahan itu tidak dilebihi.

Jika kita ingin mencari persamaan mengenai Sarri dan hukum fizik, Hukum Hooke mungkin adalah yang paling banyak persamaan.

Tidak seperti kebanyakkan pengurus lain yang hanya memerlukan dua atau tiga buah kelab sebelum mengendalikan pasukan utama berstatus kelab besar, Sarri bermula dari bawah.

Pengalaman dari bawah berkadar langsung dengan kadar kejayaan yang beliau cipta ke hari ini sehingga dikenali dengan gaya bola sepak, Sarri-Ball.

Sarri-Ball adalah gelaran untuk taktikal Maurizio Sarri yang beliau terapkan di Napoli.

. (Photo by AFC Bournemouth/AFC Bournemouth via Getty Images)

Ia adalah taktikal yang menekankan aliran bola bebas (free flowing football) dengan pertukaran hantaran serta posisi yang banyak. Taktikal ini juga berbentuk dahagakan penguasaan bola (possession hunger).

Asas taktikal kepada Sarri-Ball menuntut setiap pemain termasuk pertahanan tengah dan penjaga gol perlu ada kemampuan yang baik dan yakin dengan bola di kaki.

Sarri-Ball bukan hukum fizik. Tetapi seperti Hukum Hooke yang pemanjangan suatu bahan kenyal adalah berkadar langsung dengan daya regangan, bola sepak oleh Sarri juga adalah berkadar langsung dengan pengalaman yang beliau perolehi.

Kerana itulah beliau digelar ‘student of the game’. Beliau meneliti setiap aspek permaianan dan taktikal, dan mengolahnya untuk dijadikan legasi beliau tersendiri.

Gabungan taktikal dan tahyul?

Gabungan taktikal genius dan tahyul? Anda tidak tersilap membaca tajuk subtopik ini.

Selain daripada memiliki kepakaran dalam bola sepak, Sarri mungkin dianggap berfikiran kolot kerana percaya kepada perkara-perkara tahyul.

(Photo credit should read CARLO HERMANN/AFP/Getty Images)

Menurut artikel The Times, ketika masih bersama Napoli, Sarri akan mengarahkan padang latihan digunakan secara silih berganti sehingga rentak kemenangan berterusan berakhir dengan kekalahan.

Sarri juga mahukan pemain-pemain makan bersama, tetapi hanya bertukar tempat duduk jika pasukan mengalami kekalahan.

Ketika masih bersama Empoli, Saarri akan menyediakan Pizza Margherita selepas perlawanan, kerana percayakan ia boleh membawa nasib baik.

Seorang bekas pemain turut pernah mendedahkan Sarri tidak akan berjalan di laluan yang beliau telah terlihat kucing hitam, kerana percaya ia akan membawa badi.

Ketika bergelar jurulatih Sansovino di Serie D Itali, Sarri secara tidak sengaja telah melanggar kereta BMW milik pemain pada hari perlawanan.

(Photo by Tolga AKMEN / AFP) (Photo credit should read TOLGA AKMEN/AFP/Getty Images)

Pasukan kendalian Sarri kemudiannya menang perlawanan tersebut. Dan kerana mahukan kemenangan dalam perlawanan seterusnya, BMW milik Marco Fara itu sengaja dilanggar oleh Sarri sekali lagi.

Benar. Sarri dan Sansovino menang 2-0 menentang Chiusi yang berada di puncak Serie D pada ketika itu.

Penutup

Akhirnya Sarri berjaya memperolehi kejayaan merangkul kejuaraan bersama Chelsea, setelah The Blues menewaskan Arsenal 4-1 di perlawanan akhir UEFA Europa League semalam.

Namun demikian, masa depan beliau di Stamford Bridge masih lagi jauh dari pasti. Adakah ini satu lagi ‘turning point’ untuk Sarri?

 

Nota editor: Artikel ini telah diedit daripada versi asal pada 31.05.2019 untuk disiarkan kembali.

 

 

 

 

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN