Komen Leonardo Bonucci terhadap rakan sepasukan, Moise Kean susulan insiden perkauman ketika perlawanan Serie A, telah mengundang banyak perhatian.
Tidak terkecuali pengurus Chelsea, Maurizio Sarri yang turut menyuarakan pandangannya mengenai situasi tersebut.
Sebelum ini, Bonucci mengecam tindakan Kean yang melakukan provokasi ke atas penyokong tuan rumah dan harus menyalahkan dirinya sendiri atas insiden itu.
Bagaimanapun, tindakannya itu dikritik oleh beberapa rakan sepasukannya dengan berkata kedua-dua pihak iaitu Kean dan penyokong Cagliari patut dipersalahkan.
Namun, Sarri menjelaskan bahawa beliau tidak bersetuju dengan kritikan balas orang ramai terhadap Bonucci.
Sarri berpendapat komen Bonnuci terhadap Kean itu hanyalah secara tidak sengaja dan tidak berniat untuk mengecam rakan sepasukannya sendiri.
“Bonucci membuat kesilapan tetapi saya yakin dia mungkin mahu mengatakan sesuatu yang berbeza, kerana saya percaya dia bukan seorang yang memainkan isu perkauman,” kata Sarri pada sidang akhbar seperti yang dikutip menerusi Football Italia.
“Dia membuat kesilapan, kita hanya dapat membuat contoh untuk orang tetapi sukar untuk menyelesaikan masalah.”
Kata Bonucci
Selepas teruk dikecam banyak pihak, Bonucci telah mengeluarkan kenyataan di Instagram miliknya (bonuccileo19) dengan menjelaskan maksud sebenar apa yang dikatakannya kepada Kean.
Beliau memberitahu, “Saya ditemuramah sejurus perlawanan berakhir dan pada kata-kata saya jelas disalah tafsir, mungkin kerana saya terlalu tergesa-gesa ketika meluahkan pandangan saya.”
“Tiada masa yang cukup untuk bercakap mengenai topik ini. Saya bertegas mengutuk segala bentuk perkauman dan diskriminasi. Perkara seperti itu langsung tidak boleh diterima dan tidak boleh disalah erti.”