Quantcast

BERITA

Unai Emery: Arsenal Perlu Berbelanja Untuk Tingkatkan Kualiti Pasukan

Pengurus Arsenal, Unai Emery mengakui bahawa The Gunners perlu untuk berbelanja pada musim panas nanti bagi meningkatkan kualiti pasukan tersebut.

Pada jendela perpindahan bulan Januari yang lalu, Emery hanya membawa masuk Denis Suarez secara pinjaman daripada Barcelona.

Sehubungan dengan misi memantapkan pasukan untuk musim 2019/20, Emery menetapkan mahu membawa masuk sekurang-kurangnya empat pemain baharu.

Antara posisi bakal menjadi pilihan beliau adalah bek kiri, serangan serta mencari pengganti kepada Aaron Ramsey yang akan berhijrah ke Juventus.

Bagi merealisasikan impian tersebut, Unai Emery mengakui sejumlah wang perlu dibelanjakan sekaligus dapat memantapkan Arsenal untuk bersaing dengan pasukan-pasukan hebat yang lain.

”Saya merasakan yang pertamanya kami dapat meningkat dengan membelanjakan wang untuk mendapatkan pemain.”

LONDON, ENGLAND – MARCH 02: Unai Emery, Manager of Arsenal pats Lucas Torreira of Arsenal on the back after being sent off during the Premier League match between Tottenham Hotspur and Arsenal FC at Wembley Stadium on March 02, 2019 in London, United Kingdom. (Photo by Michael Regan/Getty Images)

”Pada masa lalu, kelab ini (Arsenal) telah melakukan tugasan dengan sangat hebat dalam melihat, mencari dan mendapatkan pemain muda serta meningkatkan pemain di akademi.”

”Saya sangat menghormati kerja kami, untuk para pemain di akademi. Saya mahu meningkatkan pemain di sini – memberikan mereka kemajuan untuk mencapai sesuatu di kelab besar seperti kita miliki.”

Dalam beliau memuji pemain dan akademi yang dimiliki Arsenal, Emery turut menjelaskan tiada masalah untuknya bagi merekrut pemain lain ke dalam pasukan.

”Kami boleh membeli beberapa orang pemain dalam pasukan lain, dimana mereka boleh datang ke sini dan memberikan prestasi baik – seperti (Virgil) Van Dijk bersama Liverpool,” jelas pengendali kelahiran Sepanyol itu.

”Kami boleh berkongsi kedua-dua situasi. Melahirkan pemain bersama kami dan mencari pemain baharu dimana kami boleh membelanjakan wang untuk membantu pasukan.”

”Saya merasakan kami berada di jalan yang tepat bersama pasukan ini, dengan pemilik dan Raul Sanllehi (head of football) untuk mencarinya. Untuk bersaing dengan pasukan yang mempunyai banyak wang berbanding kami, mungkin Manchester City, mungkin Real Madrid.”

”Arsenal adalah hebat. Sasaran kami adalah untuk menjadi pasukan yang terbaik di dunia.”