Mauricio Pochettino menempelak sesetengah pihak yang membandingkan skuad bimbingannya, Tottenham Hotspur yang berbelanja kecil berbanding kelab La Liga, Atletico Madrid.
Hal ini kerana Pochettino melihat ‘strategi kewangan’ yang dirangka kedua-dua pasukan adalah cukup berbeza walaupun Tottenham dan Atletico dilihat sebagai ‘silent killer’ dalam liga masing-masing.
Musim ini, Tottenham langsung tidak membawa masuk muka baharu bagi memperkuatkan pasukan. Walaupun begitu, mereka kini menghuni tangga kedua Liga Perdana Inggeris.
”Sangat sukar untuk mencari pasukan lain yang mengamalkan falsafah yang sama seperti kami. Setiap pasukan adalah istimewa dan berbeza.”
”Saya berfikir mengenai perkara ini pada hari berikutnya. (Diego) Simeone merupakan pengurus yang menerima gaji tertinggi di Sepanyol.”
”Gajinya lebih besar berbanding pengurus Real Madrid, Barcelona, Sevilla dan Valencia,” ujar Pochettino.
”Pelaburan dilakukan Atletico terhadap pemain mereka adalah tinggi berbanding kami. Ia kurang tetapi dana mereka sangat hampir seperti Real Madrid dan Barcelona.”
”Mereka mampu mengekalkan pemain seperti Antoine Griezmann dan mereka juga menandatangani Diego Costa.”
”Saya merasakan dana yang dimiliki Atletico Madrid adalah lebih besar berbanding mana-mana kelab di Liga Perdana Inggeris. Ia mungkin lima kali ganda lebih banyak berbanding dana yang kami miliki.”
”Ia seakan-akan Real (Madrid) dan Barcelona. Ia tidak seperti Tottenham. Adakah anda berfikir Atletico Madrid boleh dibandingkan dengan Tottenham?”
”Atletico Madrid sebenarnya seperti Manchester City dan Liverpool.”
Skuad bimbingan Pochettino itu kini menghuni tangga kedua liga selepas mengumpul 45 mata, ketinggalan enam mata dibelakang Liverpool yang berada di puncak liga.