Selepas Harry Kane berjaya memintas rekod penjaring terbanyak milik Teddy Sheringham pada awal pagi tadi, Mauricio Pochettino percaya bahawa tiada rekod yang tidak akan dapat dicapai oleh penyerangnya itu sekiranya Kane masih kekal bersama kelab tersebut.
Pochettino percaya Harry Kane akan mampu untuk terus melakar rekod demi rekod pada hari mendatang selepas beliau menyaksikan peledak berbisa itu mencipta dua jaringan bagi menundukkan Everton 4-0 di Wembley.
Musim ini juga menyaksikan Kane telah mencipta rekod sebagai penjaring terbanyak dalam tempoh setahun dengan 39 jaringan dan juga turut menamatkan tahun 2017 dengan menjaringkan lebih banyak gol berbanding Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.
Awal pagi tadi pula, penyerang berusia 24 tahun itu memadamkan rekod lama milik Teddy Sheringham untuk jaringan ke-98 beliau bersama Tottenham Hotspur sekaligus menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman di era Liga Perdana Inggeris buat kelab London itu.
”Dia (Harry Kane) begitu berbakat, begitu profesional, saya sangat gembira. Saya mengucapkan tahniah kepadanya dan dia layak mendapat kredit,” ujar Pochettino kepada BT Sport selepas perlawanan.
”Dengan cara ini, dia akan memecahkan semua rekod dalam Liga Perdana Inggeris dan England. Saya sangat gembira. Ia sangat hebat kerana dia membantu kami mencapai kemenangan.”
Tottenham kini berada ditangga ke-5 liga dengan mencatatkan 44 mata. Berkongsi mata dengan Liverpool yang menghuni tangga ke-4.
Namun skuad bimbingan Jurgen Klopp itu masih berkelebihan satu perlawanan apabila akan bertemu Manchester City di Anfield awal pagi esok.
Pengendali dari Argentina itu turut mengulas mengenai peluang anak buahnya bersaing untuk merebut tempat terbaik dalam saingan liga.
”Ia sangat penting untuk berada disana, bersaing dengan begitu dekat. Ketinggalan tiga mata perbezaan dengan Manchester United dan Chelsea, dan Liverpool. Sudah tentu, mereka (Manchester United dan Liverpool) beraksi esok dan Isnin.”
”Tetapi perjalanan liga masih panjang dan kami perlu mengekalkan konsistensi sehingga ketika itu bagi menunjukkan kami berjuang untuk kedudukan empat teratas.”