Analisis: Apakah Punca Kemerosotan Prestasi Real Madrid?

Pada penghujung musim lalu, Zinedine Zidane disanjung sebagai antara jurulatih dan pengurus terhebat yang pernah melatih Real Madrid.

Apa tidaknya. Di dalam tempoh hanya 22 bulan, Zidane telah membantu Los Blancos memenangi lapan daripada sepuluh kejuaraan yang dipertandingkan.

Malah selepas melakar kejayaan yang hebat hanya di dalam tempoh kurang 2 tahun sebagai pengendali skuad utama Real Madrid, Zidane diumumkan sebagai Jurulatih Terbaik FIFA 2017; anugerah berprestij untuk mengenang sumbangan jurulatih dari seluruh dunia.

Tidak sukar untuk mana-mana jurulatih di peringkat apa jua pertandingan menyanjung nama Zinedine Zidane.

(Photo by fotopress/Getty Images)

Namun demikian, Real Madrid sudah keciciran 22 mata pada musim ini.

Ini juga bermakna juara La Liga musim lalu ini berada 16 mata di belakang seteru El Clasico, Barcelona yang gah mendahului kedudukan La Liga walaupun digegarkan dengan pemergian Neymar sebelum kempen musim ini bermula.

Selepas tewas kepada Barcelona dengan jaringan 3-0 sebelum Krismas lalu, agak mengejutkan apabila Toni Kroos mensasarkan kedudukan ke-4 sebagai pencapaian yang realistik buat juara eropah 12 kali ini.

Sudah pasti sasaran sebegitu adalah sesuatu yang janggal bagi pasukan seperti Real Madrid. Jadi di manakah silapnya?

Pertahanan dan bek sayap 

Mari kita mulakan dengan prestasi Real di bahagian pertahanan. Sehingga kini, Real Madrid telah melepaskan 17 gol daripada 18 perlawanan. Hanya 3 pasukan yang dibocori lebih sedikit daripada Real.

Namun pesaing utama Real, Atletico Madrid hanya dibolosi kurang separuh daripada jumlah itu, manakala Barcelona kurang 11 kali jika dibandingkan dengan Real Madrid.

Barisan pertahanan Real Madrid sering dipersoalkan kerana mudah dibocori oleh pasukan yang lebih lemah.

Sebelum dibocori 2 kali oleh Celta Vigo pada minggu lalu, Valencia, Girona, Malaga dan Barcelona adalah pasukan lain yang membocori gawang Real lebih dari satu gol dalam satu perlawanan.

Malah pasukan divisyen bawahan sepertti Fuenlabrada dan Numancia turut melakukan perkara yang sama dalam pertandingan Copa del Rey.

Musim ini Dani Carvajal dan Marcelo terus disandarkan dengan harapan di posisi bek kanan dan kiri Real Madrid. Namun prestasi kedua-dua pemain ini jelas berada di prestasi yang berlainan pada musim ini.

Jika prestasi kedua-duanya pada musim lalu diambil kira sehingga mampu terlibat secara langsung dalam penghasilan 16 jaringan daripada jumlah gol Real musim lepas, prestasi kedua-dua pemain pada musim ini jelas tidak berada di tahap yang sepatutnya.

(Photo by Laurens Lindhout/Soccrates/Getty Images)

Adakalanya Zidane akan menurunkan pemain berusia 19 tahun, Achraf Hakimi (gambar atas) di posisi bek kanan. Persembahan Hakimi tampak membanggakan dan menunjukkan potensi untuk masa hadapan.

Namun demikian, sehingga kini ancaman Real Madrid dari bahagian sisi serangan yang sering dijana oleh bek sayap pasukan tersebut, amat mengecewakan.

Serangan dan penyudah

Bola sepak mempunyai matematik yang mudah. Pasukan yang menjaringkan lebih banyak gol akan menang. Kerana itu, tidak susah untuk mencari masalah utama kepada kemerosotan prestasi Los Blancos.

Pada musim lalu, Real  menjaringkan sejumlah 106 gol. Cristiano Ronaldo adalah penjaring terbanyak dengan 25 gol. Nama-nama lain seperti Karim Benzema, Isco dan Alvaro Morata turut merekodkan jumlah jaringan dua angka.

(Photo by TF-Images/Getty Images)

 

Namun selepas 18 perlawanan La Liga pada musim ini, purata jaringan Real Madrid menurun daripada 2.8 gol untuk setiap perlawanan pada musim lalu kepada 1.7 gol pada musim ini.

Secara taktikal, Zidane bukanlah seorang jurulatih yang menerapkan kaedah menjaringkan gol secara spesifik kepada pemain-pemainnya.

Malah sebagai bekas pemain di kelab berkenaan, beliau lebih mempercayakan kualiti pemain yang dimilikinya untuk menyempurnakan peluang yang terhidang.

Masalah bagi Zidane sekarang ialah watak-watak utama yang sering diberikan kepercayaan oleh beliau gagal berbuat demikian.

(Photo by Gonzalo Arroyo Moreno/Getty Images)

Ronaldo, Isco, Gareth Bale dan Marco Asensio masing-masing menjaringkan hanya 4 gol. Manakala Benzema hanya merekodkan dua gol setakat ini.

Zidane mungkin akan menuding kepada kecederaan yang menimpa Bale sebagai alasan. Secara purata, pemain antarabangsa Wales ini telah terlibat di dalam 11 gol melalui 13 penampilan terakhirnya, menghasilkan 7 gol dan 4 bantuan gol secara keseluruhan.

Kecederaan yang menimpa Bale hanya menggariskan kepentingan bekas prodigi Tottenham Hotspur ini di Bernabeu. Pemain sehebat Cristiano Ronaldo sendiri turut terkesan sejak kecederaan menimpa Bale secara berturut-turut.

Adakah Cristiano Ronaldo masih relevan?

Ia adalah musim yang agak pelik untuk Ronaldo. Di awal musim, Ronaldo menjaringkan gol di pusingan pertama final Super Copa Sepanyol menentang Barcelona, sebelum dibuang padang kerana menolak pengadil.

Di Piala Dunia Kelab FIFA, beliau turut beraksi cemerlang, dan menjaringkan gol kemenangan ketika menentang Gremio.

(Photo by David Ramos – FIFA/FIFA via Getty Images)

Di pertandingan UEFA Champions League (UCL), Ronaldo menjaringkan gol di setiap 6 perlawanan peringkat kumpulan, menjaringkan 9 gol secara keseluruhan.

Namun di La Liga, Ronaldo hanya berjaya menjaringkan 4 gol setakat ini dalam 13 penampilan. Jelas Real memerlukan sentuhan dari Ronaldo untuk jaringan gol untuk turut kompetitif di La Liga.

Guillem Balague dan Peter Smith dari Sky Sports mempunyai pendapat mereka mengenai kegagalan Ronaldo di La Liga. Dan ia adalah kerana kualiti peluang jaringan yang dihasilkan untuk Ronaldo.

Daripada 17 peluang terhidang, hanya 4 mampu disempurnakan oleh kapten Portugal itu. Dan pada ketika Ronaldo sukar menemui jaringan, Real tidak mempunyai alternatif lain untuk menjaringkan gol.

(Photo by fotopress/Getty Images)

Pada ketika mereka gagal menjaringkan gol, seharusnya Real memikirkan kaedah lain seperti menguasai bahagian tengah dengan penguasaan bola untuk mengagalkan ancaman lawan.

Namun demikian, Real turut tidak melakukan sedemikian dan akhirnya memberikan kekecewaan kepada penyokong dan juga Zidane.

Musim lalu Real Madrid menguasai purata 55% daripada penguasaan bola di setiap perlawanan, dan menyandarkan harapan memburu jaringan melalui pemain menyerang mereka.

Namun demikian, ia tidak sedemikian rupa bagi Real pada musim ini.

Rumusan

Amat mudah untuk menyalahkan kurangnya aktiviti di pasaran pemain sebagai punca kemerosotan prestasi Real Madrid. Tetapi kita harus ingat bahawa skuad yang hampir sama telah muncul sebagai juara eropah dan La Liga kurang 8 bulan yang lalu.

Kegagalan mereka untuk menguasai bola (possession) dan menjaringkan gol yang cukup untuk menamatkan perlawanan juga salah satu perkara yang menyebabkan prestasi Real kelihatan tidak menentu.

Buktinya, mereka gagal memenangi 4 perlawanan terakhir di tempat lawan, dan ini adalah pencapaian paling buruk oleh Real Madrid di dalam La Liga sejak Disember 2008.

Ketika perlawanan, satu perkara yang jelas ialah ketiadaan pelan B oleh Zidane dari segi taktikal. Ketika ketinggalan, atau pun buntu, satu-satunya perubahan yang dilakukan ialah mengeluarkan pemain untuk digantikan dengan pemain lain, dengan harapan pemain tersebut mampu merubah kedudukan dengan keupayaan pemain sendiri.

Inilah adalah salah satu masalah jurulatih apabila menyandarkan sepenuhnya kekuatan pasukan kepada keupayaan peribadi pemain semata-mata.

Zidane sudah membuktikan dirinya adalah jurulatih yang bagus di peringkat awal kariernya di bidang pengurusan. Namun ini adalah senario yang baharu baginya.

Mampukah Zidane mencari jawapan kepada kemerosotan prestasi Real Madrid yang berterusan ini?

 

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN