Pemain sayap Brighton, Neal Maupay bukan sahaja mencederakan Bernd Leno, malah kemudian menambah garam pada luka tersebut dengan gol kemenangannya.
Jaringan tersebut hadir pada penghujung perlawanan di saat ianya seakan-akan akan berkesudahan seri dan reaksi pemain tersebut dalam temuramah selepas perlawanan juga terlihat seakan-akan beliau mengejek pemain-pemain Arsenal.
Maupay ejek pemain Arsenal
Penjaga gol Arsenal, Bernd Leno mengalami kecederaan selepas bertembung dengan Maupay pada minit ke-40 dan masih belum dipastikan sama ada ianya kecederaan serius atau tidak. Bagaimanapun, Arteta berkata yang ianya nampak agak teruk.
Dalam kejadian tersebut, Leno dan penyerang sensasi The Gunners, Pierre-Emerick Aubameyang antara yang dilihat berang dengan pemain tersebut, namun ianya dibalas Maupay dengan kata-kata, “Disebabkan itu, keputusan itu layak untuk mereka.”
“Saya tidak berniat untuk cederakannya. Saya hanya mahu mendapatkan bola tersebut. Saya telah memohon maaf kepada mereka dan juga pemain tersebut. Saya juga pernah melaluinya, ia adalah saat yang sukar,” jelasnya kepada BBC Sport.
“Adakalanya, pemain-pemain Arsenal perlu belajar untuk merendah diri. Mereka terlampau banyak bercakap. Sebab itu, keputusan itu layak untuk mereka,” tambah Maupay sambil mendoakan agar Leno cepat pulih daripada kecederaan itu.
Arteta: Mereka bukan begitu
Maupay dipetik berkata yang beliau telah pergi berjumpa dengan pengurus Arsenal, Mikel Arteta sejurus perlawanan babak pertama berakhir untuk memohon maaf atas kejadian tersebut dan menjelaskan yang tiada niat jahat di pihaknya.
Sementara itu dalam sesi temuramah pasca perlawanan, Arteta turut mengatakan yang kecederaan Leno tersebut bukanlah sepenuhnya kesalahan pemain tersebut tetapi membalas semula kenyataan yang mengatakan pemainnya meninggi diri.
“Dia boleh bercakap apa sahaja yang dia mahukan. Saya lebih mengenali pemain-pemain saya dan tentunya aspek yang ada pada mereka juga adalah sikap merendah diri,” tegas Arteta yang berkata ia kejadian yang berlaku di luar jangkaan.
“Saya percaya yang tiada mana-mana pemain yang mahu mencederakan pemain lain dan seperti dalam kes ini, ia juga sama. Ia di luar jangkaan kita semua,” tambah Arteta dan berkata sama ada serius atau tidak, ia akan diketahui dalam masa terdekat.
Arteta kecewa kekalahan tidak patut
Selain itu, Arteta nyata tidak dapat menerima kekalahan kedua berturut-turut yang dialami skuad kendaliannya itu selepas terlebih dahulu mendahului aksi menerusi jaringan Nicolas Pepe sebelum dikejutkan jaringan Lewis Dunk dan Neal Maupay.
“Saya sangat kecewa. Saya tidak dapat menerima kekalahan sebegini. Kita suka bersaing dan saya tahu kita memiliki skuad yang muda tetapi kita lepaskan peluang [untuk menang]. Kita patut menang lebih awal,” tegas pengendali asal Sepanyol itu.
“Kita pulang tanpa sebarang mata lagi. Saya rasa ianya berbeza dengan aksi bertemu Manchester City tempohari. Apabila kita memberikan lawan gol mudah seperti tadi, kita yang akan merana,” tambah Arteta lagi mengenai keputusan tersebut.
Ia nyata permulaan yang sukar buat Arteta selepas liga tertangguh 100 hari dengan beliau kini kehilangan majoriti pemain utamanya. Kini, jika Leno turut disahkan mengalami kecederaan serius, beliau akan bermain tanpa lapan pemain utama.
Penutup
Arsenal ketika ini menduduki kedudukan ke-10 liga dengan 40 mata selepas 30 aksi. Berbaki lapan perlawanan sahaja lagi, adakah The Gunners masih memiliki peluang untuk melayakkan diri ke saingan Europa League sekurang-kurangnya?
Mereka berada lapan mata di belakang pasukan di kedudukan ke-4 liga, Chelsea, dengan beberapa pasukan yang diluar jangkaan berada di atas mereka ketika ini seperti Wolves, Sheffield United dan Crystal Palace. Arsenal perlu segera bangkit.
KREDIT FEATURED IMAGE: GETTY IMAGES & GOAL