Quantcast

BERITA

Matthew Davies: Lupakan Kekalahan Silam, Cipta Sejarah Baharu

Bek kanan skuad kebangsaan, Matthew Davies tidak mahu terus dibelenggu dengan memori sejarah kekalahan silam sebaliknya mahu skuad yang ada kini fokus mencipta sejarah baharu.

Matthew Davies merupakan satu-satunya pemain yang tinggal sejak kekalahan besar 0-10 kepada UAE tersebut dan masih kekal berada bersama skuad kebangsaan sehingga kini.

Pemain berusia 24 tahun itu berada di bangku simpanan ketika skuad negara dibelasah UAE di Abu Dhabi, empat tahun lalu, dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019. Ketika itu skuad kebangsaan dikendalikan oleh Dollah Salleh.

Bercakap kepada Berita Harian, Matthew Davies juga mahukan keputusan positif untuk aksi kedua kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 selepas berjaya membenam Indonesia.

Dalam aksi tegang di tempat duduk penyokong, Harimau Malaya berjaya mencipta kemenangan dan meraih tiga mata penuh di penghujung perlawanan hasil jaringan Mohamadou Sumareh selepas perlawanan dilanjutkan sehingga lapan minit.

“Saya masih ingat (tewas 10-0 kepada UAE) walaupun saya berada di bangku simpanan. Tapi kali ini kami tampil dengan skuad yang berbeza dan dengan semangat baharu,” ujar Matthew Davies.

“Kami mahukan keputusan positif berdepan UAE, menang atau seri ia akan menjadi keputusan yang baik bagi kami.

“Kami juga tidak hanya mahu mengharungi perlawanan ini untuk mengurangkan jaringan daripada dibolosi, tapi kamu mahukan kemenangan atau mendapatkan mata.” jelasnya lagi.

Matthew Davies kini adalah tonggak penting benteng Harimau Malaya dalam misi mahu melangkah lebih jauh di pusingan kelayakan kali ini sambil mengintai peluang untuk ke Piala Asia.

Dalam pertembungan dengan Indonesia tempohari, jaringan Mohamadou Sumareh di minit ke-97 juga adalah hasil hantaran lintang rendahnya yang akhirnya berjaya disudahkan untuk gol kemenangan dramatik 3-2 Malaysia ke atas Indonesia.

Ia sekaligus menamatkan badi 15 tahun tanpa kemenangan Harimau Malaya di Stadium Gelora Bung Karno seterusnya merentap ego Sang Garuda di halaman sendiri.

“Saya fikir perlawanan dengan UAE seakan sama dengan aksi Indonesia sebelum ini – sudah lama kita tidak menang di Indonesia.

“Jadi, kami perlu kekal positif dan tidak terlalu memikirkan mengenai sejarah lalu, sebaliknya lebih fokus mencipta sejarah baharu,” tambahnya mengenai pertembungan dengan UAE.

Kredit Featured Image: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)