Wolverhampton Wanderers telah mengambil langkah serius bagi memperbaiki kempennya musim ini selepas sah menandatangani penyerang Brazil, Matheus Cunha secara pinjaman dari Atletico Madrid dengan pilihan pembelian €50 juta (RM235 juta).
Penyerang berusia 23 tahun itu akan menyertai kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan yang kini dibimbing oleh penguru baharu Julen Lopetegui berkuatkuasa 1 Januari ini tertakluk kepada kelulusan permit kerja.
Bekas pemain Sion, RB Leipzig dan Hertha Berlin itu menyertai Atletico pada musim panas 2021 yang lalu dan menyerlah pada musim lalu, namun bergelut untuk mempamerkan aksi terbaiknya sepanjang musim ini.
Julen Lopetegui's first addition 🤩@mathcunha20 will join on loan from January 1st, 2023 ✍️
— Wolves (@Wolves) December 25, 2022
Beliau membantu Brazil menjuarai pingat emas di kejohanan Olimpik Tokyo pada tahun lalu dan telah mengumpul lapan kaps di peringkat antarabangsa, tetapi terlepas daripada senarai akhir skuad ke Piala Dunia di Qatar.
“Saya teruja untuk beraksi di Liga Perdana Inggeris, untuk bermain di Wolverhampton dan saya rasa perkara paling penting adalah saya gembira mempunyai jurulatih yang hebat, dia miliki mentaliti yang menakjubkan,” ujar Cunha.
Menariknya Cunha bakal beraksi bersama bekas rakan sepasukannya di Atletico, Diego Costa ni Molineux yang juga akan membuat penampilan bermula Januari ini.
Kemenangan 2-1 ke atas Everton pada Isnin menjadikan Lopetegui sebagai pengurus pertama yang berjaya memenangi tugasan perlawanan EPL sejak John Barnwell pada 1978.