Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) dikhabarkan telah membuka langkah untuk memastikan skuad kebangsaan negara itu terus maju dan diterajui oleh orang yang tepat.
Oleh itu, mereka dikatakan mahu menyambung kontrak jurulatih pasukan iaitu Shin Tae-yong selepas memberikan pulangan yang baik buat bola sepak Indonesia.
Menurut laporan dari Indonesia, PSSI kini sudah memulakan langkah untuk menyambung kontrak Shin selepas jurulatih itu berjaya membawa Indonesia ke saingan Piala Asia 2023.
Walaupun kontrak Shin hanya akan tamat pada penghujung tahun 2023, PSSI tidak mengambil langkah yang lewat sebaliknya mahu terus ‘mengikat’ pengendali dari Korea Selatan itu.
Menurut Ketua Umum PSSI, Mochamad Iriawan, proses untuk melanjutkan kontrak Shin telah pun dimulakan dengan merit diberikan kepada pengendali itu dalam mengubah nasib bola sepak Indonesia.
Bukan setakat berjaya membawa kejayaan kepada skuad senior, Shin juga telah berjaya memberikan impak positif kepada skuad remaja Indonesia.
Untuk rekod, beliau telah berjaya membawa Indonesia ke saingan Piala Asia B-20 yang akan berlangsung pada tahun hadapan.
Selain itu, beliau juga telah memberikan perubahan yang positif kepada skuad B-23 dan B-19 negara itu.
Langkah menstabilkan pasukan
Keputusan yang diambil oleh PSSI ini dilihat satu tindakan yang memberikan kebaikan kepada bola sepak Indonesia untuk jangka masa panjang.
Sejak mengendalikan skuad Garuda, Shin telah memberikan kestabilan bukan sahaja kepada skuad senior tetapi untuk pasukan bawah umur negara itu juga.
Penerimaan yang diterima oleh Shin oleh para penyokong Indonesia juga baik jadi ianya bukanlah satu tugas sukar untuk PSSI mengekalkan pengendali itu yang pastinya akan disenangi ramai.
Malah baru-baru ini ketika aksi persahabatan antarabangsa juga menyaksikan Indonesia berjaya menewaskan Curacao yang menduduki tangga ke-84 dunia.
Mereka akan berdepan Curarcao sekali lagi dalam aksi persahabatan esok dalam satu lagi aksi persahabatan jam 9 malam waktu Malaysia.