Juara Piala FAM 2018, Terengganu City FC belum pasti akan beraksi dalam saingan Liga Premier musim depan berikutan masalah kewangan yang sedang melanda pasukan itu.
Ia termasuk menyelesaikan segala hutang membabitkan tunggakan gaji dan pampasan baki kontrak kepada enam pemain mereka berjumlah RM283,000, seperti yang diumumkan Jawatankuasa Status FAM pada Selasa lalu.
Lebih parah, skuad itu juga dilaporkan tidak akan mendapat penajaan kerajaan negeri Terengganu dan ia sudah dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.
Bercakap kepada Berita Harian, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam menjelaskan semua pasukan perlu memiliki kewangan yang kukuh dan bebas daripada isu tunggakan gaji untuk mendapatkan lesen beraksi dalam Liga Super dan Liga Premier.
“Saya percaya FAM akan membuat keputusan yang paling tepat terutama dalam menilai sama ada sesebuah pasukan itu mampu atau tidak dari aspek kewangan untuk bersaing dalam Liga Perdana.
“Sudah tentu semua pasukan diwajibkan (mendapatkan lesen kelab), seperti yang saya katakan sebelum ini ia akan menukar wajah bola sepak kita untuk masa akan datang.
“Pelesenan kelab bukan satu perkara yang boleh diambil ringan dan boleh di capai semua pasukan, memang akan ada pasukan berdepan masalah. Tapi apakan daya ini yang kita perlu lakukan untuk memastikan kestabilan Liga M.” katanya.
PJ Rangers dan MOF FC dijangka akan mengisi tempat Terengganu City FC (TCFC) di Liga Premier musim depan, jika mereka gagal mematuhi syarat pelesenan kelab ditetapkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
“Ia terpulang kepada MFL (terima atau menolak) kerana peraturan mereka lebih ketat berbanding kita di peringkat pertandingan bawahan kelolaan FAM.
“Namun jika Terengganu City tak berjaya melepasi peraturan berkenaan, kita perlu mencari pengganti dengan tawaran akan diberikan kepada dua pasukan yang tumpas di separuh akhir.
“Dan jika kedua-dua pasukan terbabit menerima tawaran, kemungkinan akan ada satu perlawanan playoff bagi mencari pasukan yang layak beraksi di Liga Perdana,” katanya Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Mohd Firdaus Mohamed.