Quantcast

KAJIAN & FAKTA

Masalah Hutang Gaji Pemain Tidak Akan Selesai Hanya Dengan Tindakan FAM

  • Masalah gaji pemain Liga Malaysia yang tertunggak takkan selesai hanya dengan campur tangan FAM.
  • Pemain dan jurulatih perlu memainkan peranan untuk memastikan isu ini tidak berulang.

Ada sesuatu yang tidak kena dalam bola sepak Malaysia. Saban tahun, kes-kes gaji pemain tak berbayar sering mendominasi kandungan berita sukan. Ia berulang-ulang. Yang berubah cuma nama pasukan dan nama pemain. Naratifnya tetap sama: pasukan menjanjikan gaji kepada pemain, tetapi ia gagal dibayar.

Sesetengah pasukan mungkin akhirnya akan membayar; walaupun lambat. Tetapi ada juga pasukan yang langsung tidak membayar; menyebabkan pemain dan staf pasukan menderita.

Terbaru, Perlis – yang diambil alih oleh pengurusan baru pimpinan Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie (gambar bawah) – mencipta nama di media atas sebab yang salah kerana gagal membayar gaji pemain-pemain skuad utama yang bersaing dalam Liga Premier 2019. Malah turut menjadi mangsa adalah pemain skuad Perlis Northern Lion 2 yang pada perancangan asalnya, akan bermain dalam Liga M3.

PFA

Di Liga Malaysia, apabila gaji pemain tak dibayar, langkah-langkah yang perlu diambil oleh mereka adalah:

1. Adu dan laporkan kepada Professional Footballers Association of Malaysia (PFAM).
2. PFAM kemudiannya akan menghubungi pasukan untuk membayar gaji pengadu.
3. Jika tidak selesai, kes akan dipanjangkan ke Jawatankuasa Status FAM untuk memberikan arahan kepada pasukan.
4. Jika tidak selesai, kes akan dipanjangkan ke Jawatankuasa Disiplin FAM untuk menentukan hukuman kepada pasukan (e.g penolakan mata, pembekuan perpindahan pemain).
5. Jika masih juga tidak selesai, kes akan dipanjangkan ke Jawatankuasa Rayuan untuk memberi ruang kepada pasukan menyelesaikan kes pengadu dan merayu keputusan Jawatankuasa Disiplin FAM.

Tetapi jika pasukan masih tidak membayar gaji pemain; walaupun selepas melakukan kelima-lima langkah di atas, pemain mempunyai langkah keenam dan terakhir: membawa kes ke mahkamah sivil.

Tetapi untuk mengheret kes mereka ke mahkamah sivil, pemain tidak boleh menamakan persatuan bola sepak (football association atau FA) sebagai defendan menurut Akta Pembangunan Sukan 1997. Mereka perlu menamakan individu sebagai defendan. Sama ada presiden FA contohnya; atau timbalan presiden, setiausaha agung dan lain-lain.

Jika menang kes di mahkamah sivil, defendan dikehendaki membayar gaji pemain seperti ketetapan mahkamah. Jika tidak, defendan boleh dibankrapkan. Segala aset defendan boleh dilelong untuk mendapatkan duit yang akhirnya boleh membayar gaji pemain tersebut.

FAM sahaja tidak cukup

Peranan FAM dalam menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain dan jurulatih pasukan Liga Malaysia yang bermasalah sememangnya penting. Ini kerana ada tiga sebab:

1. Boleh dikatakan hampir semua pasukan yang mempunyai masalah gaji ini berasal dari Piala FAM (pertandingan divisyen ke-3 yang kini telah digantikan dengan Liga M3). Sebagai penganjur Piala FAM, badan induk ini bertanggungjawab dengan kes Terengganu City FC, Hanelang FC, Marcerra United FC dan Perlis FA.

2. Segala kes tunggakan gaji pemain profesional dirujuk kepada Jawatankuasa Status FAM yang dipengerusikan oleh Mohd Joehari Ayub.

3. FAM yang menetapkan parameter pelesenan kelab sebelum sesebuah pasukan boleh bertanding dalam Liga Super dan Liga Premier. Salah satu kriteria pelesenan ini adalah kewangan. Kegagalan pasukan yang mempunyai lesen ini untuk menyelesaikan tunggakan gaji akan memberi refleksi kepada kualiti penilaian FAM. Contohnya kes Felda United FC dan PDRM FA.

Walaupun ya, FAM perlu dipertanggungjawabkan dalam isu ini, satu persoalan yang kita perlu tanya adalah: adakah ia cukup untuk menghentikan kitaran kes hutang gaji ini daripada berulang?

Adakah dengan membayar hutang gaji ini menggunakan wang deposit penyertaan liga dan wang hadiah kemenangan liga, ia cukup untuk mengelak daripada masalah ini berulang?

Kemudian adakah dengan membayar hutang gaji Marcerra United FC dan Kuantan FA (sekadar mengambil contoh) menggunakan wang geran tahunan bernilai RM3 juta yang sepatutnya diterima oleh Pahang FA (yang menaungi dua kelab ini), ia cukup untuk mengelak daripada masalah ini berulang?

Skuad Kuantan FA semasa musim Liga Premier 2018 telah diambil alih oleh pengurusan Marcerra United FC yang culas membayar gaji pemain. (Foto: Marcerra United FC)

Adakah ia adil buat Pahang FA?

Jika kes hutang ini dapat diselesaikan sekali pun oleh FAM dengan menggunakan wang geran tahunan persatuan negeri yang menaungi kelab-kelab bermasalah ini, adakah pesalah sebenar (individu-individu di sebalik pengurusan pasukan) betul-betul dihukum?

Bolehkah kita jamin individu-individu tidak bertanggungjawab yang ‘lari’ ini tidak melakukan perkara sama dengan menubuhkan pasukan baru? Atau mengambilalih pasukan kecil? Bolehkah kita jamin mereka tidak lagi akan ‘membuat kacau’ dalam bola sepak Malaysia?

Dan yang lebih penting lagi, bolehkah kita jamin pemain-pemain tidak akan masuk ke dalam ‘jerat’ hutang gaji yang sama?

Pemain dan jurulatih pegang kunci

Kami di Semuanya BOLA berpendapat kunci untuk kita menghentikan kitaran kes hutang gaji ini terletak di tangan mangsa sendiri: pemain dan jurulatih.

Mereka perlu melakukan apa yang pemain Perlis Northern Lions II baru lakukan. Namakan pesalah dan mulakan proses pendakwaan menerusi saluran undang-undang – buat laporan polis atau heret ke mahkamah sivil. Apa-apa sahaja. Asalkan tiada lagi orang yang akan termasuk jerat yang dipasang oleh individu-individu tak bertanggungjawab tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail turut senada dengan gesaan ini. “Kita mahu setiap pemain yang mempunyai masalah hutang gaji ini tampil ke hadapan dan menamakan individu yang bertanggungjawab supaya rakan-rakan mereka yang lain tak menerima nasib yang sama,” katanya kepada Semuanya BOLA.

Pada masa yang sama, FAM dan MFL pula perlu memperkemas dan memperketat standard operating procedures (SOP) sebelum sesebuah pasukan menyertai Liga Malaysia.

Selepas berakhirnya musim bola sepak 2018, FAM dan MFL berdepan kesukaran untuk mencukupkan jumlah pasukan dalam pertandingan divisyen 3 (Piala FAM 2019) dan divisyen 2 (Liga Premier 2019).

Selepas Felda United FC dipromosi ke Liga Super 2019 manakala Felcra FC dan Kuantan FA dibubarkan, MFL memerlukan 2 pasukan untuk mencukupkan slot 12 pasukan untuk Liga Premier 2019. Selepas pembubaran pasukan juara Piala FAM 2018; Terengganu City, Selangor United (naib juara Piala FAM 2018) adalah pilihan pertama dan automatik MFL.

Sekarang tinggal satu sahaja lagi pasukan untuk memenuhkan slot 12 pasukan Liga Premier 2019. Di peringkat divisyen 3, penganjurnya; FAM mendapati hanya 5 pasukan bersedia untuk bertanding: MPKB-BRI UBeS FC (kini Kelantan United), ATM FA (kini Armed Forces FC), Kuching FA, Young Fighters FC (kini menarik diri) dan Perlis FA.

Kelantan United menunjukkan minat bermain dalam Liga Premier 2019, tetapi mahukan lebih masa membuat keputusan. ATM pula masih mempunyai hutang gaji sejumlah lebih RM2 juta. Kuching FA tiada hutang, tetapi tidak berminat kerana tiada bajet.

Tinggallah Perlis FA.

Perlis FA berminat tetapi mempunyai hutang gaji (daripada pengurusan lama) sejumlah kira-kira RM700,000. Mereka berjanji kepada FAM dan MFL untuk menyelesaikan hutang lapuk ini menerusi penolakan geran RM1 juta yang akan diterima apabila bermain dalam Liga Premier 2019. Perlis FA juga mendakwa mempunyai peruntukan RM15 juta dan menjamin tidak akan membuat kes hutang baru.

Seperti pasukan-pasukan lain yang bermain dalam Liga Premier, FAM memberi tempoh 6 bulan (sehingga 30 Jun 2019) kepada Perlis FA untuk mengemukakan dokumen-dokumen pelesenan kelab (termasuk dokumen kewangan). Tempoh 6 bulan yang diberikan ini merupakan amalan standard yang turut dipraktis oleh AFC kepada pasukan yang baru menyertai AFC Champions League dan AFC Cup.

Tetapi belum sempat sampai Jun 2019, Perlis FA sudah pun mengalami masalah untuk membayar gaji pemain sejak Disember 2018.

Apabila masalah ini berlaku, ramai yang menuding jari kepada FAM dan MFL yang gagal mengenalpasti identiti sebenar Perlis FA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie, yang dikatakan pernah terlibat dalam beberapa kes penipuan multi-level marketing (MLM) beberapa tahun sebelum ini.

Tetapi persoalan sama juga boleh dituju kepada ahli-ahli gabungan Perlis FA yang mengundi Datuk Ahmad Amizal sebagai presiden persatuan mereka. Mengapa mereka tidak melakukan pemeriksaan latar belakang kepada presiden mereka sendiri?

Cadangan-cadangan penyelesaian

Perkara paling penting sekarang adalah bukannya mencari siapa kambing hitam yang perlu ‘disembelih’ dalam isu ini. Sebaliknya yang paling penting; semua pihak perlu bekerjasama untuk mencari penyelesaian kitaran kes hutang gaji ini.

Pemain dan jurulatih yang menjadi mangsa kes hutang gaji perlu berani menamakan individu bertanggungjawab dan mengheretnya ke muka pengadilan. Sepertimana mangsa-mangsa awal serangan seksual Bill Cosby dan Harvey Weinstein, mereka perlu mengambil tanggungjawab ini untuk memastikan tiada lagi pemain dan jurulatih lain yang menjadi mangsa.

FAM pula perlu bekerjasama dengan Pesuruhjaya Sukan untuk memastikan setiap kelab bola sepak yang ditubuhkan untuk bertanding dalam piramid bola sepak Malaysia bebas dari pengaruh individu tak bertanggungjawab. Mereka juga perlu terus mendidik ahli-ahli gabungan mereka mengenai praktis pengurusan kewangan pasukan yang berhemah dan mampan.

MFL pula perlu menyediakan kursus persediaan kepada setiap pemain untuk mendidik mereka tentang realiti sebagai pemain profesional, seperti yang dilakukan oleh J.League.

Hanya dengan kerjasama semua pihak, barulah kitaran kes hutang gaji ini dapat dihentikan buat selama-lamanya.