Sebagai persediaan menghadapi Tai Po FC dalam pusingan kedua kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2020, Kedah sedang melalui persediaan yang sangat rapi dan padat bagi membolehkan para pemain mendapat tahap kecergasan terbaik dan kesefahaman.
Ketika ini Kedah sedang berada di Kemboja untuk Jelajah Pra-Musim 2020 dengan lima perlawanan persahabatan telah diatur termasuk kejohanan pra-musim Piala Smart RSN yang menemukan Kedah dengan Phnom Penh Crown FC dan Angkor Tiger FC.
Kedah telah melalui tiga perlawanan dalam tempoh empat hari dengan dua kemenangan direkodkan iaitu Visakha FC (1-0) dan Beoung Ket FC (4-1) selain kalah 2-3 kepada Nagaworld FC.
Sebagaimana yang telah ditekankan oleh pengendali, Aidil Sharin Sahak ketika ditanyakan objektif pra-musim oleh Semuanya BOLA sebelum ini, perkara yang sama masih ditagihnya ketika diajukan persoalan oleh The Star mengenai sesi pra-musim ketika ini.
“Di Kemboja, kita hanya mahu bermain bola sepak dengan baik. Tiada kecederaan, hanya menikmati permainan dan terus mencari minit permainan [untuk pemain],” jelasnya sambil menegaskan yang komitmen 100% tetap ditagihnya daripada para pemain.
“Sudah semestinya saya menagih komitmen 100% pemain, tetapi dalam masa yang sama, saya juga telah ingatkan pemain untuk mengelakkan kecederaan. Sasaran utama kita adalah untuk bersedia sepenuhnya untuk berdepan Tai Po FC,” jelasnya.
Dengan membawa 27 pemain, setiap pemain akan diberikan ruang dan peluang untuk beraksi oleh Aidil Sharin dengan harapan para pemainnya akan mendapat rentak dan pendekatan taktikalnya.
“Kita menyasarkan untuk meningkatkan kecergasan para pemain dan juga menilai permainan serta kombinasi semua pemain.
“Inilah masa terbaik untuk kita ‘try and error’ sebelum menentang Tai Po FC. Kita akan melihat juga dari segi keputusan tetapi paling penting adalah para pemain akan dapat mengikut rentak taktikal yang kita mahu terapkan kepada pasukan,” ujarnya lagi.
Ketika ditanyakan mengenai jadual padat, melalui lima perlawanan dalam tempoh 10 hari di Kemboja, pengendali kelahiran SIngapura itu jelas tidak risau kerana ada 27 pemain berada di tangannya.
“Lima perlawanan dalam 10 hari adalah sangat sukar, tetapi saya tidak terlalu risau kerana kami telah membawa semua 27 pemain,” tambahnya yang telah membawa Piala FA 2019 ke bumi Kedah.
Kedah akan berdepan wakil Hong Kong, Tai Po FC pada 21 Januari depan dan dengan lawan yang akan melalui hampir 10 perlawanan Hong Kong Premier League, Kedah juga perlu cergas sebagaimana pasukan lawan dan inilah misi Aidil Sharin di Kemboja.
Kredit Foto: Kedah FA