EKSKLUSIF: Marlon Alex James Seru Pemain Kedah Untuk ‘Gali’ Semula Keyakinan Diri

marlon

Pernah meraih dua kejuaraan Piala Malaysia bersama Kedah iaitu pada edisi 2007 dan 2008, Marlon Alex James ada pandangan mengenai situasi skuad Helang Merah.

Semuanya BOLA telah menghubungi Marlon yang kini menetap di Saint Vincent & the Grenadines menerusi Whatsapp untuk bertanyakan pandangannya.

Bekas penyerang berbisa Kedah itu berpendapat yang skuad Kedah mungkin tidak jelas dengan objektif pasukan samaada mahu mengejar kejuaraan atau sebaliknya.

“Secara peribadinya saya berpendapat yang mereka tidak jelas dengan objektif pasukan sama ada mahukan trofi atau sekadar berada di kalangan 5 pasukan terbaik,” ujarnya.

“Pasukan Kedah yang mahukan trofi akan bermain dengan lebih bersemangat dan juga mempunyai etika kerja yang terbaik dalam setiap perlawanan,” tambahnya lagi.

Foto: KEDAH FA

Marlon turut menjelaskan yang pendapatnya itu hanya berpandukan dari apa yang dapat dilihatnya di padang ketika perlawanan kerana dia tidak berada bersama pemain.

Walaupun dibatasi jarak lebih 17,000 kilometer, Marlon masih dapat menyaksikan perlawanan yang melibatkan Kedah menerusi siaran langsung di Facebook.

“Saya tidak katakan ianya salah pertahanan semata-mata. Bertahan sepatutnya tugas keseluruhan pasukan,” ulasnya ketika ditanya mengenai jumlah bolos yang besar.

Kedah antara pasukan yang merekodkan bolos besar musim ini dengan purata 1.6 gol setiap perlawanan. Ia juga dilihat meningkat dalam 3 musim terakhir buat Kedah.

Helang Merah juga tidak cukup ampuh di laman sendiri yang menyaksikan mereka tewas 5 daripada 11 perlawanan sepanjang saingan Liga Super di Stadium Darul Aman.

“Anda boleh lihat berapa kali mereka telah tewas di halaman sendiri musim ini.

“Darul Aman adalah salah satu stadium yang sukar buat pasukan lawan untuk meraih kemenangan,” ujarnya lagi yang kini telah memiliki lesen D kejurulatihan.

“Kedah telah memenangi beberapa kejuaraan dalam tiga tahun kebelakangan ini, jadi saya terfikir, adakah pemain terlebih yakin atau terlampau selesa,” jelasnya lagi.

Apabila ditanya mengenai kemungkinan yang kualiti pemain Hijau Kuning kian merosot menjadi penyumbang kepada aksi suram itu, Marlon jelas kurang bersetuju.

Baginya, Kedah tidak pernah kekurangan pemain yang berkualiti. Dan memang sudah terbukti, Kedah tidak pernah sunyi daripada melahirkan produk-produk baharu.

Musim ini menyaksikan beberapa nama kian mendapat tempat tempat dan menempa nama seperti Akhyar Rashid, Norfiqrie Talib, Asri Mardzuki dan Hidhir Idris.

Tetapi baginya, Kedah mungkin tidak berjaya mengukuhkan pasukan walaupun dengan kemasukkan pemain-pemain baharu,” jelasnya kepada Semuanya BOLA.

Kedah
Foto: KEDAH FA

“Saya rasa Kedah memiliki pemain-pemain yang berkualiti namun mereka tampak kekurangan dari segi semangat untuk bermain sepenuh jiwa buat pasukan.

“Prestasi di dalam padang adakalanya memberi gambaran apa yang berlaku di luar padang,” jelas bekas pemilik jersi nombor 9 Kedah itu lagi.

Pemain tengah, Sandro pada Selasa mendedahkan terdapat masalah yang berlaku di dalam pasukan pada musim ini yang baginya menjejaskan prestasi pasukan.

Kenyataan Sandro mungkin ada benarnya tetapi caranya dengan menggunakan media sebagai medium interaksi mungkin tampak tidak kena gaya.

Marlon nyata kurang selesa dengan pendekatan sebegitu kerana baginya jika terdapat sebarang masalah, pemain perlu memaklumkan kepada jurulatih.

Marlon Alex James

“Ada benda yang boleh dikongsi dan ada yang tidak sesuai untuk dikongsi,” komennya mengenai pendedahan Sandro mengenai masalah pasukan kepada media.

Bercakap mengenai Piala Malaysia pula, Marlon mengharapkan Helang Merah akan kembali memperbaiki prestasi pasukan yang kian menurun.

“Untuk Piala Malaysia, Kedah hanya perlu mendapatkan kembali keyakinan dan kepercayaan dalam diri masing-masing,” tegasnya.

Aksi permainan Kedah seperti ‘kehilangan sesuatu’ dan rentetan 5 perlawanan tanpa kemenangan dalam saingan liga menjunamkan lagi keyakinan mereka.

Para pemain dan ketua jurulatih, Nidzam Adzha Yusoff perlu menggali semula keyakinan dan kepercayaan dalam diri mereka yang kian terhakis kini.

Kedah telah diundi dalam Kumpulan C bersama juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT), Kelantan dan MIFA. Ahad ini, Kedah akan bertemu Kelantan untuk aksi pertama.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN