Bekas penyerang berbisa Persija Jakarta, Marko Simic dikhabarkan bakal beraksi di Serbia dalam saingan Serbian SuperLiga bersama kelab terbaharunya iaitu Radnicki 1923.
Ketika ini Radnicki 1923 berada di kedudukan ke-11 carta liga dengan mengumpul 10 mata daripada 10 perlawanan yang sudah dihadapi mereka.
“Marko Simic merupakan pembelian pemain baharu kelapan kami pada musim panas ini. Pemain berpengalaman ini hadir dengan reputasi tinggi di Indonesia dan pernah beraksi bersama Persija Jakarta.
“Beliau telah merekodkan 76 gol keseluruhan daripada 111 perlawanan disertai dan pemain ini pernah beraksi dalam beberapa pasukan di Malaysia dan Vietnam,” ulas Instagram rasmi kelab tersebut.
Menurut Bola.com, Radnicki 1923 menjadi kelab pertama buat Simic untuk kembali dalam saingan Eropah setelah kali terakhir pemain tersebut beraksi di sana pada tujuh tahun lalu.
Di Malaysia, Simic pernah mewakili Negeri Sembilan serta Melaka United dengan jumlah jaringan dan impak serangan yang agak baik dipamerkan beliau sebelum berakdi di Indonesia.
Simic boleh dikatakan menikmati musim terbaik beliau ketika berada di Indonesia apabila menjuarai Liga 1 bersama Persija Jakarta pada tahun 2018, muncul juara Piala Presiden pada tahun yang sama, serta tampil selaku penjaring terbanyak Liga 1 pada tahun berikutnya.
Walaupun hadir dengan pelbagai kejayaan dan reputasi yang hebat, karier Simic bersama kelab tersebut tidak berpanjangan setelah penyerang handalan itu menyatakan gaji beliau tidak dibayar pengurusan Persija Jakarta.
Perkara tersebut jelas menjadikan penyerang kelahiran Croatia itu kecewa dengan sikap pengurusan setelah pelbagai sumbangan beliau sebelum ini di atas padang seolah tidak dihargai.
Untuk itu, Simic menamatkan kontrak bersama kelab tersebut dan kembali ke Eropah untuk beberapa percubaan menyertai kelab di sana sebelum diikat oleh Radnicki 1923.
Simic juga mempunyai beberapa kejuaraan lain yang diperoleh beliau sepanjang beraksi di saingan Asia Tenggara apabila pernah membantu Becamex Binh Duong muncul juara dalam saingan V.League 1 dan Vietnamese Cup.
⚽️⚽️⚽️⚽️
The one and only, Marko Simic 💥#OnThisDay #BelieveIn12 #PersijaJakarta pic.twitter.com/RW4FJNwx4n
— Persija Jakarta (@Persija_Jkt) April 10, 2022
Untuk rekod bersama skuad kebangsaan iaitu Croatia, Simic pernah mewakili pasukan pembangunan bawah 21 (B-21), namun tidak pernah terpilih untuk beraksi bersama barisan pemain senior negara beliau.