Nama Mario Ricardo mungkin asing bagi peminat sukan bola sepak di seluruh dunia pada ketika ini. Namun tidak lagi di kancah saingan domestik Paraguay dan Amerika Selatan.
Hal ini sedemikian selepas gol sensasi hasil jaringan voli cantik beliau untuk Cristobal Colon dalam perlawanan menentang Cerro Porteno baru-baru ini di saingan Piala Paraguay.
Walaupun pasukan yang diwakili oleh Mario Ricardo tewas 3-1 kepada Cerro Porteno, rakaman jaringan beliau pantas menjadi tular di selueuh dunia, sehingga ada yang mencadangkan agar Persatuan Bola Sepak Parguay menghantar nominasi kepada FIFA untuk anugerah Puskas.
“Ketika bola itu turun, saya tidak teragak-agak untuk melepaskan rembatan ke arah gol,” ujar Ricardo seperti mana yang dipetik dari laman sesawang Marca.
Menjadikan jaringan Ricardo semakin menarik ialah kerana keadaan fizikal pemain tersebut. Ricardo hilang penglihatan pada sebelah mata kiri setelah terbabit di dalam satu kemalangan jalan raya ketika zaman kanak-kanak.
Beliau yang berusia 28 tahun beraksi bersama Cristobal Colon di dalam Divisyen ke-3 bola sepak Paraguay juga turut melakukan pekerjaan lain demi meneruskan kelangsungan hidup.
Untuk jaringan Ricardo dipertimbangkan untuk anugerah Puskas, Persatuan Bola Sepak Paraguay terlebih dahulu harus mencalonkan gol tersebut kepada FIFA.
Memandangkan ia adalah perlawanan kompetitif di kancah saingan bola sepak Paraguay, dan turut mempunyai rakaman dari siaran televisyen, secara teknikal jaringan tersebut dibenarkan untuk anugerah badan bola sepak dunia itu.
Anda boleh menyaksikan jaringan menarik Mario Ricardo melalui pautan di bawah.