Liga super musim 2018 pasti akan menghadirkan persaingan yang cukup sengit apabila pasukan Kedah dilaporkan sedang menimbang untuk mendapatkan khidmat bekas jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Mario Gomez bagi membimbing pasukan itu musim depan.
Menurut laporan akhbar tempatan Berita Harian, Pengurusan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), sudah menghubungi pengendali kelahiran Argentina berusia 60 tahun itu dua hari lalu untuk menyatakan tawaran.
Gomez mengesahkan perkembangan itu dan beliau dikatakan sudah menyatakan persetujuan kepada KFA.
“Saya sekarang menunggu keputusan daripada Kedah, kami sudah berbincang dua hari lalu dan saya tidak ada masalah dengan tawaran kontrak itu.
“Cuma kami tidak berbincang secara terperinci tapi saya sudah bersetuju dengan gaji yang ditawarkan,” katanya yang dihubungi oleh Berita Harian.
KFA sedang mencari calon untuk mengambil alih tugas Mohd Nidzam Adzha Yusoff yang menyatakan secara terbuka meminta majikannya mencari jurulatih lebih berpengalaman bagi melatih Kedah selepas mereka tewas kepada JDT 0-2 pada final Piala Malaysia awal bulan ini.
Gomez yang pernah melatih pasukan JDT menjuarai Liga Super dan Piala AFC pada tahun 2015 sedang menanti tawaran daripada mana-mana pasukan Liga Super dan tidak menolak akan melatih Kedah andai diberikan peluang oleh Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).
“Sudah pasti saya berminat. Saya pernah menyaksikan mereka bermain pada Januari lalu dan saya juga tahu JDT baru menang Piala Malaysia.
“Kedah merupakan pasukan yang kuat dan memiliki pemain-pemain yang bagus. Saya masih ingat pemain mereka yang bernombor 8 (Liridon Kasniqi) adalah seorang pemain yang cukup hebat,” katanya
Dan Gomez antara calon terbaik untuk melatih skuad Helang Merah berdasarkan pencapaiannya bersama JDT selama dua tahun dengan merangkul Piala AFC 2015, Liga Super 2015, 2016 dan Piala FA 2016.
Dia turut menjadi calon pilihan jurulatih Harimau Malaya bagaimanapun disebabkan sedikit masalah berhubung dengan kontrak maka, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memilih jurulatih dari Portugal Nelo Vingada bagi mengalas tugas itu.
“Saya memang berminat membimbing Kedah kerana mereka pasukan yang memiliki sejarah tersendiri, sentiasa bersaing merebut kejuaraan dan ada perancangan,” kata Gomez yang mendedahkan tidak menerima tawaran pasukan lain selain Kedah setakat ini.
Bagaimanapun selain Gomez, bekas pengendali Kedah musim 2015, Ramon Marcote turut berada dalam senarai KFA bagi melatih pasukan juara Piala FA itu.