Quantcast

BERITA

Irfan Lega Andrew Tuck Memilih Untuk Sertai Terengganu

Ketua jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim mengesahkan penyerang kelahiran England, Lee Andrew Tuck akan berhijrah ke Kuala Terengganu dalam misi memantapkan lagi jentera serangan skuad Penyu itu musim depan.

Beliau mengakui kehadiran bekas penyerang pasukan Negeri Sembilan itu sangat dinantikan dan akan jadi satu lagi senjata rahsia pasukannya.

“Tuck yang mempunyai ketinggian 1.75 meter sudah menandatangani kontrak bersama Terengganu semalam dan kehadiran penyerang itu diyakini mampu menjadi senjata pemusnah buat pasukan,” katanya kepada Berita Harian.

Aksi Tuck ketika bersama pasukan N. Sembilan dalam saingan Liga Perdana musim ini.

Pengurusan Terengganu turut menyambung kontrak penyerang kelahiran Ivory Coast, Tchetche Kipre atau nama jolokannya `Drogba Terengganu` selama setahun lagi.

Kehadiran Tuck yang juga pernah beraksi dengan kelab Dhaka Abahani Limited dalam Liga Bangladesh itu dengan dengan Kipre, sudah pasti bakal menajamkan lagi jentera depan skuad Penyu.

“Sebelum berjaya mengikat Tuck, kita terpaksa bersaing dengan beberapa pasukan ltermasuk Pahang yang difahamkan juga inginkan khidmat pemain itu.

“Bagaimanapun saya lega apabila pemain itu memilih untuk menyarung jersi skuad Terengganu,” kata Irfan yang berjaya membawa skuad Penyu itu kembali beraksi dalam pentas Liga Super musim depan selepas muncul naib juara Liga Perdana musim ini.

Mengenai tiga lagi pemain import termasuk kouta ASEAN dan Asia, jurulatih berpengalaman itu merahsiakan lagi nama mereka bagi mengelak diintai pasukan lain.

“Tiga lagi pemain import yang bakal beraksi di posisi pertahanan dan tengah itu kita akan umumkan kemudian selepas mendapat `lampu hijau` daripada ejen pemain berkenaan,” katanya.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!