Quantcast

BERITA

Biarpun Telah Meledak 22 Gol Musim Ini, Mario Balotelli Tetap Disisih Itali

Telah meledak 22 gol dari 31 penampilan musim ini bersama kelab Ligue 1 Perancis, Nice, tetap tidak menjamin tempat buat penyerang, Mario Balotelli untuk bersama skuad Itali.

Balotelli sekali lagi gagal mendapat tempat bersama skuad Itali selepas tersisih sejak pasca Piala Dunia di Brazil pada 2014. Itali tersingkir di peringkat kumpulan untuk edisi tersebut.

Penyerang berusia 27 tahun itu kini kembali menyerlah selepas aksi malapnya bersama Liverpool pada musim 2014/15 dan bersama AC Milan pada musim berikutnya.

Mario Balotelli ketika bersama Liverpool. Foto: Independent

Ejen pemain itu, Mino Raiola sangat berang dengan perkara ini dan menyatakan kepada Radio 24 bahawa skuad kebangsaan perlu diwakili oleh barisan pemain terbaik.

“Skuad kebangsaan perlu diwakili oleh pemain-pemain terbaik, namun jika tiada pemain terbaik dalam senarai, anda boleh katakan kita tidak faham kriteria yang telah ditetapkan.

“Jika Di Biagio menyatakan jumlah jaringan tidak penting buat penyerang, jadi skuad kebangsaan bukanlah tempat buat pemain sepertinya (Balotelli),” tegas Raiola.

ROME, ITALY – NOVEMBER 02: Mario Balotelli of Nice prior to the UEFA Europa League group K match between Lazio Roma and OGC Nice at Stadio Olimpico on November 2, 2017 in Rome, Italy. (Photo by Robbie Jay Barratt – AMA/Getty Images)

Selain itu, Raiola turut mengkritik badan pentadbir bola sepak Itali sebagai pentadbir yang tiada visi untuk masa depan dan bekerja tanpa sebarang perancangan.

Sementara itu, pengendali sementara Itali, Di Biagio mempunyai alasan tersendiri meminggirkan Balotelli dan memanggil dua muka baharu iaitu Patrick Cutrone dan Federico Chiesa.

“Saya memanggil Cutrone atas aksinya, semangat dan juga kerana dia telah melalui setiap fasa pasukan bermula dengan skuad B-15 tahun, serta dia faham kehendak saya.

Dilabel penyerang masa depan AC MIlan dan Itali, Patrick Cutrone (kanan). Foto: ESPNFC.

“Chiesa telah bersedia untuk bersama skuad ini, namun ia bergantung juga dengan aksinya di liga dan ia juga berdasarkan apa yang ditunjukkannya dalam latihan dan perlawanan.

“Menjaringkan gol adalah senjata penting penyerang namun ia perlu dilengkapi dengan aksi baik keseluruhan perlawanan,” ujar Di Biagio yang baharu mengambil alih tugas pengendali sementara.

“Saya akan terus ikuti perkembangannya (Balotelli) dan kita akan lihatnya semula dalam tempoh beberapa bulan ,” tambahnya lagi kepada Goal.

Cutrone dan Chiesa adalah penyerang muda berusia 20 tahun dan juga merupakan pemain termuda yang terpilih untuk berada di dalam skuad Itali kali ini.

Itali akan turun menentang Argentina dan England pada 23 dan 27 Mac 2018 di England. Walaupun gagal ke Piala Dunia 2018, Itali akan beraksi dalam kejohanan sulung UEFA Nations League.