Marcus McGuane menjadi pemain berdarah Inggeris pertama tampil bersama Blaugrana sejak Gary Lineker melakukannya kira-kira 32 tahun yang lalu.
McGuane tampil dari bangku pemain simpanan pada minit ke-76 perlawanan untuk Barcelona untuk membantu gergasi Catalan itu menewaskan Espanyol 4-2 melalui penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam pertandingan Supercopa de Catalunya.
Pemain antarabangsa peringkat umur untuk England ini tiba di Nou Camp daripada Arsenal pada Januari lalu. McGuane kemudiaannya menyertai pasukan Barcelona B, selepas menandatangani kontrak yang turut mempunyai klausa pelepasan bernilai €25 juta.
“Ia adalah pengalaman luar biasa buat diri saya dan ahli keluarga. Tiada kata-kata yang boleh saya ungkapkan untuk menjelaskan perasaan melangkah ke luar sana sebagai pemain Barcelona. Tetapi ia adalah perasaan yang hebat,” ujar McGuane selepas perlawanan.
“Apabila jurulatih memberitahu tiba giliran saya untuk masuk, saya mahukan perasaan tenang dan beraksi sebaik mungkin untuk menunjukkan apa yang saya boleh sumbangkan.”
Sebelum McGuane, Gary Lineker meninggalkan Everton untuk menyertai Barcelona pada 1986.
Sepanjang bersama Barcelona sehingga 1989, Lineker membantu kelab Catalan itu menjuarai Copa del Rey dan juga European Cup Winners’ Cup, serta menjaringkan lebih daripada 50 gol dalam semua pertandingan.
McGuane turut berkata:
“Ketika saya tiba di sini, ramai memberitahu saya bahawa Gary Lineker adalah pemain Inggeris terakhir yang pernah menyarung jersi Barcelona FC. Untuk mengetahui bahawa saya adalah pemain Inggeris seterusnya, ia sudah cukup mengujakan.”
“Saya harus terus bekerja keras bersama pasukan Barcelona B dan memperolehi sebanyak mungkin perlawanan. Jika mendapat peluang untuk beraksi lagi untuk pasukan utama, saya akan buktikan kemampuan saya sebaik mungkin,” tambah McGuane dengan nada keyakinan.
Antara pemain lain yang turut beraksi bersama McGuane dalam perlawanan tersebut ialah Ousmane Dembele, Jasper Cillessen dan Yerry Mina. Dua lagi pemain yang turut berada di dalam pasukan ialah Paco Alcacer dan Denis Suarez
“Perlawanan ini mempunyai beberapa fasa dan rentak yang sentiasa berubah,” ujar Ernesto Valverde.
“Kami bermula dengan agak baik, dan ada ketikanya tahap permainan kami sedikit jatuh. Tetapi kami mengakhiri perlawanan ini dengan majoriti pemain daripada Barcelona B. Sudah pasti ia adalah peluang menarik untuk menilai aksi mereka,” ujar Valverde selepas perlawanan tersebut.