Kuching FA Mahu Buktikan Pengurusan Profesional Mampu Lonjak Pasukan Ke Tahap Tertinggi

‘The capital of the Kingdom of Sarawak.’ Kira-kira 178 tahun yang lalu, Kuching dikenali sebagai ibu kota Kerajaan Sarawak.

Ia diiktiraf sebagai sebuah ibu kota setelah pemerintahan awalnya dipecah daripada Kesultanan Melayu Brunei oleh James Brooke, yang turut digelar ‘Rajah of Sarawak’.

Berkeluasan 4,559.5 km persegi, keseluruhan bahagian Kuching menyamai hampir tiga kali ganda negeri Melaka.

Selain daripada pelbagai daya tarikan dari segi kepelbagaian makanan, budaya, suku kaum, adat resam dan agama, tahukah anda bahawa Kuching turut memiliki sebuah pasukan bola sepak yang mempunyai impian besar untuk sama-sama bersaing di dalam kancah saingan tertinggi bola sepak tempatan satu hari nanti?

Sejarah Kuching FA

Nama Kuching FA sebenarnya bukan nama asing bagi pengikut bola sepak tempatan di negeri Sarawak.

Aktif bersaing di pelbagai peringkat kejohanan tempatan di negeri Sarawak, Kuching FA sebenarnya adalah salah sebuah gergasi bola sepak tempatan selain daripada pasukan Bintulu FA dan Miri FA.

Tumpuan saban musim sudah tentu diberikan kepada kejohanan tempatan iaitu Piala Sarawak.

Dari LBR ke saingan Piala FAM

Bertitik tolak daripada Liga Bola Sepak Rakyat Kebangsaan (LBR) yang diperkenalkan pada 2016, Kuching FA mengejutkan ramai pengikut bola sepak tempatan apabila menjuarai kejohanan edisi sulung kejohanan tersebut.

Ia memberi gambaran Sarawak masih mempunyai ramai bakat yang boleh diketengahkan, di sebalik kemeruduman prestasi pasukan utama di saingan bola sepak tempatan.

Kejayaan di LBR, membuka platform baharu buat wakil dari Sarawak ini untuk bersaing di peringkat yang lebih tinggi apabila dijemput oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menyertai Piala FAM pada musim 2017.

Secara keseluruhan, Kuching FA telah membuktikan diri mereka mampu bersaing di Divisyen ketiga bola sepak tanah air itu.

Bersaing di dalam Kumpulan B di peringkat liga, Kuching FA mengakhiri saingan di kedudukan ke-4 untuk melayakkan diri ke peringkat kalah mati.

Namun kerana kekurangan pengalaman, akhirnya impian Kuching FA melakar kejutan pada musim pertama di saingan Liga FAM tidak kesampaian, apabila kemaraan mereka disekat oleh UKM FC di peringkat suku akhir.

Tewas tipis dengan agregat 2-1 kepada UKM FC, menjadikan pemain-pemain dan pegawai Kuching FA semakin membulatkan tekad bahawa mereka boleh pergi jauh selepas lawan mereka itu muncul naib juara Piala FAM pada musim lalu, sekaligus bersaing di Liga Premier pada musim hadapan.

Cita-cita Kuching FA (KFA)

Baru-baru ini Kuching FA merupakan salah sebuah pasukan dari Liga FAM yang mara ke peringkat pusingan kedua saingan Shoppe Piala FA Malaysia.

Walaupun tewas kepada pasukan Kuala Lumpur yang merupakan juara 100Plus Liga Premier pada musim lalu, ia langsung tidak merencatkan semagat dan perancangan pihak pengurusan Kuching FA untuk mengimpikan sesuatu yang lebih besar selepas ini.

Pihak kami amat bertuah baru-baru ini, apabila berkesempatan untuk menemuramah dua individu penting di dalam Kuching FA, iaitu Iswandi Ali Hassan yang merupakan pengurus pasukan, dan juga Shahrizan Sahari yang merupakan Ketua Jurulatih Kuching FA.

Menurut Iswandi, sasaran realistik yang diletakkan oleh Kuching FA pada musim ini ialah untuk melayakkan pasukan itu ke saingan Liga Premier pada musim hadapan.

“Kami berpendapat sasaran untuk melayakkan diri ke saingan Liga Premier adalah sasaran yang realistik.”

“Musim lalu, cabaran kami diakhiri oleh UKM FC di peringkat suku akhir. Tetapi musim lalu juga merupakan musim pertama kami bersaing di tahap ini.”

“Berdasarkan pengalaman lalu, dan persiapan yang lebih rapi pada musim ini, kami percaya sasaran itu tidak mustahil untuk dicapai,” ujar Iswandi ketika ditemui oleh wakil kami di hotel penginapan Kuching FA pada minggu lalu.

Ketua Jurulatih Kuching FA mempunyai pendapat yang sama, dan Shahrizan Ali Hassan berkata kesungguhan pemain berjuang untuk sesama sendiri adalah kunci utama kepada kekuatan pasukan ini.

Ketika ditanya siapakah pemain bintang yang boleh diharap sebagai tunjang pasukan, ini jawapan beliau:

“Di dalam pasukan ini, tidak ada pemain berstatus bintang. Kami bermain sebagai sebuah pasukan. Kami menang bersama, kami kalah bersama.”

“Malah pemain-pemain berjuang untuk satu sama lain untuk mencapai kemenangan,” ujar Shahrizan kepada kami.

Shahrizan juga memaklumkan di dalam pasukan kuching FA pada masa ini, pemain-pemain adalah di dalam lingkungan usia 18 sehingga yang paling tua dan berpengalaman ialah 35 tahun.

Jurulatih muda yang gemar menggunakan formasi 4-3-3 di dalam taktikal permainannya yakin pasukannya mampu pergi jauh selagi setiap pemain terus berjuang sepertimana yang ditunjukkan oleh barisan kendaliannya selama ini.

Menuju Liga Premier 2019

Pengurus pasukan, Iswandi Ali Hassan turut berkata untuk bersaing di Liga Premier 2019 bukannya perkara yang mudah.

Beliau juga bersetuju bahawa Kuching FA harus memiliki struktur pengurusan yang kuat, kumpulan pengurusan yang profesional, realistik dengan matlamat, dan sumber kewangan yang kukuh sesuai sebagai sebuah kelab bola sepak profesional.

Oleh itu, Iswandi berkata Kuching FA berasa bersyukur kerana mempunyai seorang Presiden, iaitu Y.B Fazzrudin bin Abdul Rahman yang sentiasa memastikan kebajikan pemain dan pegawai pasukan sentiasa dijaga.

Malah, Presiden KFA sering kali turun padang untuk melihat sendiri latihan dan mengetahui perkembangan terkini pasukan.

Pembangunan akar umbi

Antara aspek yang diberikan penekanan oleh Kuching FA ialah pembangunan akar umbi. Ini dilaksanakan dengan mewujudkan akademi bola sepak mereka sendiri, yang mula beroperasi sejak daripada 2011.

Antara produk yang telah berjaya dilahirkan oleh Kuching FA setakat ini ialah Nur Shamie Iszuan, yang pernah menganggotai skuad B-23 Ong Kim Swee pada musim lalu dan kini bersama Petaling Jaya Rangers.

Sumber: Borneo Post

Serorang lagi pemain yang dibangunkan oleh Kuching FA ialah Abdul Rahim Abdul Razak yang kini merupakan pemain utama Sarawak FA di saingan 100 Plus Liga Premier.

Menurut Shahrizan, pada hari ini akademi bola sepak KFA mempunyai sekitar 85 pelatih daripada seluruh Kuching.

Latihan biasanya diadakan pada hujung minggu, dan terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk menyertai.

Pada Oktober tahun lalu, Kuching FA turut mengambil inisiatif menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) bersama Suwon FC daripada Korea Selatan untuk meningkatkan kerjasama di dalam bidang pembangunan bola sepak.

Serentak dengan itu, satu pasukan B-14 Kuching FA akan dihantar ke negara berkenaan untuk satu kejohanan jemputan antarabangsa, sebagai memenuhi salah satu tuntutan di dalam perjanjian tersebut.

Selain didedahkan dengan perlawanan antarabangsa yang lebih kompetitif, pemain-pemain turut berpeluang melihat sendiri bagaimana latihan bola sepak profesional dijalankan di negara berkenaan.

Kuching FA juga dikhabarkan telah dianugerahkan sebidang tanah oleh kerajaan negeri yang terletak di Surabaya Indah, Kuching untuk membina pusat latihan mereka sendiri selepas ini.

Nilai komersil ‘Kuching untuk semua’

Walaupun berpusat di Kuching,  Iswandi berkata mereka mahukan jenama Kuching FA dibuka untuk pemilikan semua orang Sarawak.

Self belongings di antara orang Sarawak itu penting. Kami tidak mahu bergerak sendiri. Konsep KFA ialah sebagai sebuah keluarga besar.”

“Daripada pemain, pihak pengurusan, dan penyokong, ini adalah pasukan untuk semua,” ujar Iswandi menjelaskan bagaimana KFA boleh memberi impak kepada komuniti.

“Oleh itu kami sangat mengalu-alukan sebarang bentuk tajaan, terutama yang membawa nama dan identiti Sarawak yang mahu bekerjasama dengan KFA,” tambah Iswandi lagi.

Baru-baru ini Kuching FA telah mendapat tajaan jersi daripada sebuah syarikat pakaian dan cenderahati tempatan, Twntyfr.

Serentak dengan itu, jersi ini akan mulai digunapakai oleh pasukan Kuching FA mulai pada hari esok dalam perlawanan Liga FAM, menentang Selangor United.

Perlawanan tersebut turut akan dihadiri oleh  Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg, yang merupakan peminat No.1 Kuching FA.

Bagi pihak yang mahu mendapatkan jersi, sekaligus menyumbang kepada Kuching FA, anda boleh berbuat demikian dengan berkunjung ke butik Twntyfr di Plaza Astana Kuching mulai 5 Mac 2018.

Jika KLFA ada Bunkface, Selangor FA ada Monoloque, Kuching FA turut mempunyai lagu tema mereka sendiri hasil kerjasama dengan kumpulan Hip Hop ternama Bumi Kenyalang, The Familyman.

Bait bait lirik lagu tersebut jika dihayati memberi maksud yang mendalam untuk memberikan semangat kepada barisan pemain ketika berjuang di atas padang.

Rumusan

Walaupun berstatus sebagai sebuah pasukan bola sepak yang kecil, kami berpendapat Kuching FA mempunyai ramuan dan berada di landasan yang tepat untuk berjaya satu hari nanti.

Seperti kata pengurus pasukan, Iswandi Ali Hassan kepada kami tempoh hari, antara aspek yang wajib diberi penekanan oleh pengurusan ialah ketelusan dan sentiasa berpijak di bumi nyata dalam mencapai matlamat untuk berjaya.

Buat warga Kuching dan Sarawak amnya, serta mana-mana peminat bola sepak tanah air yang mahu mengikuti perkembangan Kuching FA, anda boleh mengikuti laman media sosial mereka di Facebook, Twitter dan juga Instagram milik pasukan itu.

Akhir kata, bagi pihak Semuanya BOLA, kami mahu mengucapkan Selamat Maju Jaya kepada Kuching FA untuk saingan Liga FAM 2018!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN