Seperti diketahui, Ramon Marcote kini kembali dalam saingan Liga Malaysia untuk menyertai Selangor dalam barisan kejurulatihan musim 2023 dengan berperanan sebagai pembantu jurulatih.
Marcote yang sebelum ini pernah mengendalikan Kedah Darul Aman (KDA) sebanyak dua kali pada tahun 2015 dan 2018 jelas mendapat tempat di hati para penyokong menerusi sumbangannya.
Ketibaan Ramon Marcote Bukti Selangor Serius Mahu Cabar Dominasi JDThttps://t.co/QuWnqleEVk
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) January 9, 2023
Bersama Tan Cheng Hoe, Marcote sebenarnya telah pun membuat satu revolusi baharu dalam corak permainan KDA dengan turut memperkenalkan banyak bakat-bakat muda menarik.
Nama-nama seperti Syafiq Ahmad, Akhyar Rashid, Hanif Md Dzahir, Ifwat Akmal, Arif Farhan Md Isa, dan beberapa lagi pemain antara yang berjaya diperkenalkan KDA di pentas Liga Malaysia (Liga-M).
Terbaharu, Marcote telah berkongsi satu foto di media sosial beliau dengan mempamerkan dirinya bergambar bersama salah seorang peminat cilik ketika berada di Kedah.
Satu lagi foto pula mempamerkan peminat cilik tersebut yang kini menjadi salah seorang pemain muda Selangor dan berada bawah asuhan Marcote di padang latihan.
Ianya jelas sesuatu yang sangat nostalgia untuk diperkatakan, selepas jarak usia kedua foto tersebut sudah pun menjangkaui lapan tahun lamanya.
Menurut penjelasan Marcote kepada kami, nama pemain muda tersebut ialah Adam Haikal yang beraksi di posisi tengah untuk skuad simpanan Selangor.
Menurut beliau, foto terbaharu itu dirakam ketika sesi latihan bersama yang membabitkan skuad simpanan Selangor bersama pasukan utama beberapa hari lalu.
Malah, Marcote juga turut memuji pemain berkenaan yang dianggap mempunyai kualiti dan potensi tersendiri untuk masa hadapan.
“Dia merupakan pemain bawah 23 (B-23) untuk Selangor dan menyertai sesi latihan bersama skuad utama kami beberapa minggu lalu.
“Ini kerana, ketika itu kebanyakan pemain utama Selangor masih lagi berada di kem kebangsaan untuk saingan Piala AFF 2023.
“Pada pandangan awal saya, Adam merupakan seorang pemain yang mempunyai bakat besar serta mempunyai potensi untuk pergi jauh pada masa hadapan,” jelas Marcote kepada kami.
Pada masa sama, pengendali berpengalaman dari Sepanyol itu turut meluahkan rasa gembira mengenai perkembangan semasa yang dilihat dalam kem Selangor.
Beliau juga menyatakan kini mereka bersedia untuk memberikan segalanya yang terbaik untuk saingan Liga-M yang akan bermula tidak lama lagi.