Pemain Chelsea, Marcos Alonso dilaporkan menjadi sasaran utama gergasi Sepanyol, Barcelona untuk bertindak selaku pengganti jangka panjang buat Gerard Pique yang bakal menjangkau usia 32 tahun pada Februari 2019.
Barcelona percaya bahawa Alonso yang memainkan peranan penting di Stamford Bridge terutamanya pada musim lalu mampu untuk menampung kekosongan serta menambah kekuatan di jentera pertahanan skuad The Blaugrana itu.
Beliau selesa beraksi di posisi pertahanan sayap sejak direkrut oleh Antonio Conte pada Ogos 2016 dengan nilai £23 juta, namun, Marcos Alonso pernah juga diletakkan sebagai pemain pertahanan tengah ketika bersama Fiorentina.
Dengan prestasi turun naik Chelsea pada musim ini hingga menyebabkan peluang untuk beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan kelihatan semakin sukar, Alonso masih mampu untuk meletakkan dirinya dalam senarai ‘Premier League Team Of The Year’
Keadaan itu membuatkan Barcelona berminat untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 27 tahun tersebut.
Marcos Alonso turut berjaya menarik minat pengendali skuad kebangsaan Sepanyol, Julen Lopetegui untuk membariskan beliau ketika perlawanan bertemu Argentina pada Mac lalu untuk kaps antarabangsa pertama buat beliau.
Beliau juga merupakan antara pemain yang dijangka akan turut serta dibawa ke Russia dalam misi untuk merebut kejuaraan Piala Dunia 2018.
Satu peluang yang terbuka luas buat Alonso bagi terus membuktikan kualiti yang dimilikinya untuk menyinar sekaligus menarik minat kelab gergasi.
Walaupun merupakan salah seorang daripada produk Akademi Real Madrid, Barcelona tidak asing buat Marcos Alonso kerana bapanya, Marcos Alonso Pena pernah beraksi di Nou Camp sekitar tahun 1982 hingga 1987.
Namun, tugas sukar menanti Barcelona untuk membawa Alonso ke Sepanyol dek kerana kontrak beliau yang masih berbaki hingga tahun 2021 dan Chelsea sudah pasti akan mempertahankan aset utamanya itu untuk kekal di Stamford Bridge.
Tiada yang mustahil dalam bola sepak, sama-sama kita nantikan kemana arah tuju destinasi Marcos Alonso selepas selesai saingan Piala Dunia nanti.