Undian AFC B-16: Skuad Malaysia B-16 Sasar Layak Ke Piala Dunia B-17

Majlis undian Kejohanan B-16 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) akan bermula pada hari ini jam 3.00 petang di Kuala Lumpur.  Skuad Malaysia Bawah 16 Tahun (B-16) selaku tuan rumah diletakkan dalam balang satu bersama Korea Utara, Iran dan juara bertahan Iraq.

Mengulas mengenai undian itu, Ketua Pegawai Eksekutif Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), Safirul Azli Abu Bakar berkata kepada Berita Harian, kemungkinan empat pasukan Asia Tenggara berada dalam kumpulan sama selepas Vietnam, Thailand dan Indonesia diletakkan dalam balang dua, tiga dan empat.

“Kalau ikut balang undian itu, Malaysia akan berada dalam balang satu sebagai tuan rumah dengan Iran, Korea Utara dan Iraq. Itu bermakna kita dapat elak untuk bertemu Iraq dan Korea Utara yang sudah tentunya hadir selaku pasukan pilihan.

“Bagaimanapun, tentangan sukar tetap akan hadir dari Korea Selatan, Jepun atau Australia. Sebab itu kita kena perbaiki tahap fokus yang mana saingan peringkat domestik dan antarabangsa cukup berbeza dengan kita akan dihukum jika melakukan kesilapan mudah.

“Namun, agak menarik juga sekiranya Malaysia diundi sekumpulan dengan tiga pasukan serantau. Kemungkinan itu ada, kalau tak semua Asia Tenggara pun mungkin akan ada satu atau dua dalam kumpulan kita nanti,” katanya.

Senarai negara yang bertanding dalam kejohanan AFC B-16 di Kuala Lumpur. FOTO: AFC

Dalam kejohanan ini, 16 pasukan bawah 16 tahun akan berentap untuk mengejar gelaran juara dengan empat pasukan terbaik akan meraih slot automatik ke Piala Dunia Remaja B-17 di Peru tahun depan.

Malaysia bakal membarisi pemain yang semuanya adalah dari produk NFDP  yang diletakkan sasaran untuk mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir. Skuad ini akan berada dibawah bimbingan jurulatih berpengalaman, Lim Teong Kim.

Pencapaian terbaik skuad negara adalah pada 2014 di Bangkok apabila anak buah S Balachandran hampir melakar sejarah layak ke Piala Dunia sebelum tumbang 1-2 di tangan Australia pada suku akhir.

“Apa yang saya nampak selama empat tahun bersama pemain, tidak mustahil pasukan mampu layak ke separuh akhir. Malah, tidak mustahil juga kita mampu masuk ke final dan muncul juara.

“Tapi kadangkala, kita tetap harapkan tuah dapat mengiringi pasukan. Berani saya katakan, tahap pemain kita sebenarnya dalam empat terbaik di Asia,” katanya.

Leave a Reply